Kuala Kangsar - "Sahur pagi tadi, rasa sedikit kekok, ada satu tempat kosong di meja, itu cukup membuatkan kami rasa sebak dan teringatkan Allahyarham."
Demikian tutur Wan Emir Astar Khair-il Anuar, anak sulung bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ketika ditanya hari pertama menyambut Ramadan tahun ini.
Menurut Wan Emir Astar, apabila menjelang bulan Ramadan, antara perkara yang mereka rindui mengenai bapanya adalah masakannya.
"Beliau merupakan seorang yang pandai masak, beliau memang pandai memasak antara kepakarannya adalah membuat pasta, selain itu 'steak' beliau juga memang sedap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Operasi PRK Kuala Kangsar BN, di sini hari ini.
Menyentuh tentang memori bersama Allahyarham Khair-il Anuar lagi, Wan Emir Astar berkata, walau sesibuk mana pun ayahnya, beliau akan memastikan mereka sekeluarga dapat berbuka puasa bersama pada hari pertama menyambut Ramadan.
Namun apa pun ujar Wan Emir Astar, kehidupan perlu diteruskan dan untuk itu katanya, beliau akan meneruskan legasi bapanya untuk membangunkan Kuala Kangsar bersama ibunya Datin Mastura Mohd Yazid sekiranya ibunya dipilih untuk menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana Mastura akan ditentang Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mewakili Pas, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.
Pengundian PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor