Padang Besar - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Baru Sungai Serai, Jalan Kilang Gula Chuping di sini terbakar tengah hari semalam.
Pemandu lori, Mohammad Faizal Abdul Wahab, 28, berkata, beliau sedang menghidupkan enjin lori sebelum keluar bekerja apabila mendengar seorang jirannya menjerit memberitahu rumahnya terbakar.
"Baru saya perasan dan melihat api mula marak dari bilik tidur. Saya lalu meluru masuk melalui pintu dapur untuk menyelamatkan isteri saya (Nazzila Zainal, 28,) dan anak kami (Mohammad Irfan, 6).
"Tapi mereka sebenarnya telah keluar dari rumah," katanya.
Beliau berkata beliau merasa sedih kerana wang RM2,000 yang diberi oleh majikannya untuk memperbaharui cukai jalan lori milik majikannya turut hangus.
Wang itu diletakkan di atas kerusi di ruang tamu sebelum beliau memanaskan enjin lorinya, kata Mohammad Faizal.
Beliau menganggarkan kerugian yang dialaminya ialah kira-kira RM20,000 kerana hampir keseluruhan rumahnya musnah begitu juga dengan dokumen penting.
Mereka sekeluarga akan menumpang tidur sementara di Rumah Sejahtera dan Bengkel Terlindung Batu Bertangkup milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mohammad Faizal di talian 012-4521090.
Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor