Pages

Monday, June 6, 2016

PESTA GAGAU IKAN MERIAH


Pesta gagau ikan meriah


Jabi - Ribuan penduduk dari sekitar Dun Jabi memeriahkan Pesta Gagau Ikan untuk menangkap pelbagai spesies ikan di samping merebut hadiah disediakan penganjur di Panggung (kolam) Tok Esut, Kampung Apal Hilir, di sini.

Penganjur program, Zainal Abidin Hussin berkata, pesta kali kedua diadakan selepas sepuluh tahun pernah diadakan dulu berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 2 petang anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Apal Hilir dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apal.

Bidin yang juga pengerusi JKKK Apal Hilir memberitahu, pesta menggagau atau ‘gaga’ ikan itu disertai 29 pasukan dan setiap pasukan terdiri daripada lima orang ahli.

“Sebelum mereka berkubang, penduduk terlebih dahulu melakukan gotong-royong selama tiga hari dua malam menimba air di panggung tersebut.

“Sebanyak empat enjin penyedut air digunakan untuk mengeringkan air di kolam takungan itu sempena musim kemarau baru-baru ini,” katanya.

Pesta yang diwarnai dengan suasana meriah dan kesepakatan itu dirasmikan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar yang turut sama turun ke dalam panggung berlumpur itu untuk menggagau ikan.

Zainal Abidin berkata, peserta datang dari seluruh kampung di Dun ini sementara sebahagian hasil tangkapan dimasak di situ untuk jamuan kepada penduduk dan peserta.

“Semua peserta menangkap ikan di dalam lumpur menggunakan tangan dalam usaha mereka menjadi kumpulan yang berjaya menangkap ikan terbanyak dan terbesar,” katanya sambil memberitahu, kesemua ikan yang berjaya ditangkap pada hari tersebut seberat kira-kira 1 tan yang terdiri daripada pelbagai spesies ikan seperti haruan, keli, puyu, sepat, dan lampam jawa.

“Hadiah kepada pemenang tidak lah begitu besar, hanya hamper sahaja tetapi kebanyakan pasukan terlibat bukan mengejar hadiah semata-mata sebaliknya ingin memeriahkan acara yang jarang-jarang diadakan secara besar-besaran.

“Kami tidak menolak kemungkinan akan menjadikan pesta ini sebagai acara tradisi dan namun ia turut bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor