Pages

Saturday, June 11, 2016

POLIS KL MULA GEMPUR SINDIKET JUDI EURO 2016


Euro 2016


Kuala Lumpur - Tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia termasuk Malaysia pastinya terarah kepada Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2016 yang membuka tirai awal pagi tadi di Perancis.

Penganjuran kejohanan itu pastinya memberi peluang kepada kaki judi untuk mengatur perlawanan atau membuat pertaruhan sepanjang berlangsungnya pertandingan itu namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga memerangi aktiviti berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis akan melaksanakan operasi khas di ibu kota bagi membanteras aktiviti perjudian bermula hari ini.

Tanpa mendedahkan lokasi panas yang menjadi tumpuan kaki judi bola sepak serta bilangan anggota terlibat, Rusdi berkata, operasi itu akan dilakukan tanpa henti sehingga kejohanan itu melabuhkan tirainya pada 10 Julai depan.

"Pemantauan dan risikan telah bermula sejak beberapa minggu lepas di sekitar Kuala Lumpur bagi membanteras operasi ini," katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat sama ada sebagai anggota sindiket ataupun kaki judi dalam aktiviti perjudian haram Euro 2016.

Untuk rekod, polis menahan kira-kira 100 bookie bola sepak dan merampas hasil wang pertaruhan bernilai hampir RM50 juta dalam operasi khas 'Ops Soga' di seluruh negara bersempena Euro 2012 di Poland dan Ukraine.

Perancis menjadi tuan rumah edisi ke-15 kejohanan yang perlawanan akan berlangsung di 10 stadium - Bordeaux, Lens, Lille, Lyon, Marseille, Nice, Paris, Saint-Denis, Saint-Etienne dan Toulouse.

Buat pertama kali sejak tahun 1996, kejohanan akan ditandingi 24 pasukan tahun ini berbanding format sebelumnya di mana hanya 16 pasukan yang bertanding.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor