Kuala Terengganu - Tindakan berani seorang lelaki menyimpan senapang angin buatan sendiri tanpa lesen menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Keputusan dibuat selepas Wan Alimi Wan Omar, 26, dari Kampung Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Nerus, mengaku salah memiliki senjata berbahaya itu tanpa lesen di kawasan tanah tambun berhampiran semak di Kampung Kubang Badak, Tok Jembal.
Dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, kira-kira jam 8 malam, pada 23 Mei lalu.
Dengan itu, Wan Alimi berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hafiz Abd Rahman di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan fakta kes, pada 23 Mei lalu, jam lebih kurang 8 malam, Wan Alimi yang ketika itu sedang menunggang motosikal di kawasan lapang di Kampung Kubang Tok Jembal, ditahan polis kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Dia cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan menemui selaras senapang angin buatan sendiri bersama enam biji bebola besi (bearing) yang disimpan di dalam kotak rokok jenama Gudang Garam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor