Seorang suami merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban kewangan untuk menampung kos rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang dihidapi isterinya sejak setahun lalu.
Peneroka Felda Lepar Utara 2, Abu Bakar Ahmad, 51, berkata, isterinya perlu menjalani rawatan itu sebanyak tiga kali seminggu di Quality Dialysis Care Davita Jerantut dengan kos RM160 untuk sekali rawatan.
Menurutnya, dia memerlukan RM1,920 sebulan untuk memastikan isteri, Rosnah Abdullah, 49, menjalani rawatan mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak sebarang komplikasi lain.
“Mula-mula dulu masih mampu lagi buat tiga kali seminggu tapi sekarang hanya dapat buat dua kali saja sebab masalah kewangan.
“Tempat tinggal kami ke pusat dialisis di Jerantut pun jarak hampir 90 kilometer maka sudah pasti banyak pakai duit termasuk kos minyak.
“Pernah cuba daftar di Hospital Jengka dan Jerantut untuk jalani dialisis tetapi diberitahu senarai pesakit sudah penuh,” katanya.
Sementara itu, Rosnah berkata, penyakit yang dihidapinya dikesan pada Ogos tahun lalu selepas mengalami demam dan muntah teruk dalam tempoh lama.
Menurutnya, dia tiada pilihan untuk mendapatkan rawatan dialisis kecuali di Jerantut itu kerana hanya pusat tersebut paling hampir dengan kediaman mereka.
“Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 pada 2011 kerana sakit kencing manis dengan satu jari kaki dipotong.
“Suami terpaksa buat kerja lain sebagai tukang kebun sekolah untuk tampung perbelanjaan kami termasuk dua anak masih bersekolah dengan sorang di universiti manakala bongsu di tingkatan empat,” katanya.
Orang ramai yang prihatin untuk meringankan beban Rosnah boleh menghubungi talian 017-9064049 atau membuat sumbangan melalui akaun 156208012891 (Maybank).
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor