Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah agar Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail serta pihak protokol negeri meletakkan penduduk kampung di kedudukan bahagian hadapan pada setiap program yang dihadiri baginda.
Tengku Mahkota Pahang itu bertitah langkah itu perlu dijadikan Prosedur Operasi Standard (SOP), bertujuan membuatkan rakyat sentiasa berasa dekat dengan baginda, sekali gus dapat mengetahui sebarang permasalahan mereka.
"Kalau boleh, setiap kali lawatan saya...saya mengingatkan kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak protokol...tentukan boleh, apabila ada perjumpaan atau jamuan seperti ini, kita hendak ketengahkan orang kampung di hadapan.
"Ini kerana, saya dengan orang lebih kanan (dalam kerajaan negeri) sentiasa berjumpa di majlis tertentu di peringkat negeri dan daerah, tetapi orang kampung jarang sekali...mudah-mudahan semua dapat dekat dengan saya, inilah kehendak dan permintaan saya kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan (Negeri)," titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada 172 golongan memerlukan, di Masjid Gambang di sini.
Turut berangkat pada majlis itu, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail.
Sementara itu, Tengku Abdullah mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya mengambil peluang meningkatkan amalan dan ukhwah sesama mereka pada Ramadan yang mulia ini, dalam usaha mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
Baginda bertitah mereka harus menganggap Ramadan, satu bulan yang istimewa untuk menumpukan kepada perkara yang boleh meningkatkan akidah dan amalan, sekali gus diredai ALLAH SWT.
"Di sini, kita dapat memberi tumpuan meningkatkan akidah dan amalan supaya mendekatkan sanubari kita dengan ALLAH SWT dan segala sumbangan kita mendapat reda ALLAH SWT dan mudah-mudahan mendapat ganjaran lebih besar.
"Kita juga seharusnya menggunakan bulan Ramadan ini untuk meningkatkan ukhwah sesama umat Islam, tidak kira setinggi mana kita sekalipun atau macam mana rendah sekalipun kita," titah baginda.
Tengku Abdullah juga bertitah umat Islam di seluruh negeri perlu kurang berpolitik sempena Ramadan ini, untuk meredakan keadaan pada masa ini yang banyak menyentuh sensitiviti agama Islam dan golongan Melayu.
Baginda bertitah tindakan itu penting untuk semua pihak bermuhasabah diri supaya dapat mengkaji lebih terperinci isu berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan memperkemaskan lagi kekurangan yang ada.
Tengku Abdullah bertitah umat Islam di negeri ini perlu bersyukur kerana masih berkesempatan berbuka puasa dalam suasana aman damai berbanding keluarga Islam di Gaza, Palestin dan Syria yang sering dalam keadaan huru-hara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor