Kuala Lumpur - "Lepas ni giliran akulah," itulah kata-kata bekas pelumba basikal kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 1964 Allahyarham N.A Rosli pada majlis tahlil saudaranya yang meninggal dunia Ahad lalu.
Sepupu rapatnya, Nik Sinluddin Nik Mustapha, 70, tidak menyangka kata-kata itu yang dianggap gurauan, menjadi kenyataan apabila Rosli meninggal dunia dalam kemalangan ketika menunggang motosikal, awal pagi semalam.
"Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa lalu dan kelakuan arwah nampak sedikit berubah dengan menjadi lebih pendiam, tidak seperti kebiasaannya yang peramah dan ringan mulut.
"Selalunya kalau dalam sesuatu majlis, dari jauh sudah boleh dengar suara arwah bergurau senda mengusik saudara-maranya," kata Sinluddin kepada Bernama di Masjid Al Ansar, tempat jenazah disembahyangkan, semalam.
Ketika mengimbas kembali kenangannya bersama Arwah, Sinluddin berkata allahyarham memang seorang yang aktif bersukan sejak dari bangku sekolah.
"Semasa di Sekolah Menengah Islah, Kota Bharu, Kelantan, sekitar tahun 1950-an, arwah telah bergiat aktif dalam sukan merentas desa dan acara lari jarak jauh (marathon) sebelum berkecimpung dalam sukan berbasikal," katanya.
N A Rosli atau nama sebenarnya Rosli Abdul Kadir, 76, maut dalam kemalangan jalan raya di Kuchai Lama lebih kurang 7 pagi semalam.
Rosli merupakan seorang daripada sembilan atlet berbasikal yang membawa bendera Malaysia ke temasya Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, bersama Andrew Michael, Choy Mow Thin, Supaat Hamid, Salam Kamsari, Ng Joo Pong, Zain Safaruddin, Stephen Lim Tian San dan Tuow Choon Boon.
Buat pertama kali, Malaysia menyertai Sukan Olimpik 1964 selepas pembentukan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan juga Singapura, dengan seramai 66 atlet mewakili negara pada masa itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor