Pages

Tuesday, May 10, 2016

BUKAN PAS, TAPI PKR PERLU KELUAR PAKATAN HARAPAN


Datuk Mohd Amar Abdullah


Kota Bharu – Pas tidak perlu berganjak, sebaliknya PKR dicadangkan untuk keluar Pakatan Harapan bagi persediaaan menumbangkan BN dalam PRU 14 akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, cadangan tersebut adalah untuk menguatkan lagi pakatan blok ketiga pembangkang yang kini dianggotai oleh parti itu dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Saya cadangkan PKR keluar PH untuk persiapan kita mengukuhkan gerakan tumbangkan BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengajak Pas untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi PRU14.

Azmin berkata, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, Pas mempunyai alasan yang cukup kukuh kenapa pihaknya perlu menolak kerjasama yang dipelawa oleh Menteri Besar Selangor itu.

“Kerana sikap DAP yang angkuh dan tidak menghormati orang lain,” jelasnya yang turut mengulangi, Pas masih dengan pendirian teguh untuk kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Pertengahan Mac lalu, Pas menubuhkan blok ketiga pembangkang bagi mengukuhkan kedudukannya untuk menghadapi PRU akan datang.

Walaupun sebelum ini Pas bersama dengan DAP dan PKR, namun parti Islam itu menolak untuk bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor