Kuala Lumpur - BN tidak akan mengikut rentak pembangkang dengan mengamalkan budaya samseng pada kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang berlangsung 18 Jun ini.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, jentera Pemuda kini memberi tumpuan bagi memastikan kemenangan terhadap calon BN pada kedua-dua PRK itu.
"Kita bersiap sedia hadapi apa jua senario dalam kedua PRK ini tetapi kita tidak akan mengambil sikap menari mengikut rentak parti lawan.
"Sekiranya mereka bertindak agresif, menyalahi dan melanggar undang-undang maka kita harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan.
"Kita tidak akan membawa budaya samseng dalam PRK ini. Kita akan memberikan tumpuan kepada tugas kita. Kita akan pastikan kehadiran jentera pemuda, pastikan sokongan pengundi muda memihak kepada BN.
"Tetapi mengikut rentak pembangkang bertindak agresif menjadi budaya samseng bukanlah perancangan kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno, semalam.
Kata Khairy, Pemuda Umno memberi komitmen untuk menyokong sesiapa juga calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
"Soal calon di kalangan Pemuda, perkara itu tidak dibincangkan dan kami telah membuat ketetapan Pemuda memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap calon yang dipilih,"katanya.
Sementara itu, mengulas akan desas desus bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan turun berkempen bagi pihak lawan pada PRK kali ini, Khairy berkata, tindakan itu tidak akan mengubah gerak kerja BN.
"Soal Tun Mahathir turun kempen atau sebaliknya, tidak akan mengubah perancangan Pemuda. Pemuda ada gerak kerja kita dan BN juga begitu.
"Kita tidak pandang siapa nak lawan siapa, kita memberi tumpuan kepada gerak kerja kita sahaja," katanya.
Ulas Khairy lagi, beliau yakin Tun Mahathir akan mengeluarkan seruan kepada pengundi untuk menolak BN, namun jentera Pemuda Umno sentiasa bersiap sedia mempromosi calon BN.
"Sudah pasti beliau akan keluarkan seruan itu. Kita akan pastikan pengundi untuk sokong BN dan terpulang kepada pengundi untuk memilih calon yang lebih baik.
"Kita tidak akan ikut rentak sesiapa dan memberi fokus dengan mempromosi calon BN. kita tidak akan mengambil kisah parti lawan atau siapa yang membantu kempen mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor