Johor Bahru - Bot nelayan yang membawa 12 orang termasuk 10 kaki pancing yang hilang di persekitaran Pulau Aur, Mersing sejak Selasa, ditemui selamat semalam.
Bot itu dikesan pada 6.15 petang oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi.
"Semua mangsa selamat," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Selatan APMM Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata APMM telah mengerakkan aset lautnya ke lokasi bagi menyelamat dan menunda bot itu ke jeti Tanjung Sedili.
Kawasan mencari dan menyelamat mangsa dari Pulau Aur, Mersing sehingga Tanjung Sedili, Kota Tinggi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi, katanya.
Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.
Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, Mersing, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman.
Menurutnya laporan kehilangan mereka dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang semalam setelah gagal menghubungi suaminya.
Sebahagian daripada mangsa dikenali sebagai Roslan Husin, 34 (tekong), pemancing - Mohd Firdaus Jalil (tidak diketahui umur), Mansor Ibrahim, 63, Syaril Mohamad, 33, Muhamad Arham Salim, 24, Emran Firdaus Mohd Said, 30, Abd Rashid Saian, 44, Mohd Zaini Mohd Dekan, 50, dan Tan Seng Foo, 55.
Tiga lagi belum diketahui identiti mereka.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor