Seorang anak dibesarkan oleh ibu angkat sejak usianya masih bayi lagi. Dia tidak pernah kenal dan tahu siapa ibu yang mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari.
Adalah sesekali ibu angkatnya menceritakan serba sedikit mengenai ibunya tetapi langsung tidak terdetik perasaan untuk menyayangi ibu lain selain ibu angkatnya.
Sehinggalah suatu hari, ibu kandung mahu mengambil hak penjagaan anak itu. Namun, anak itu meronta-ronta tidak mahu tinggal bersama ibu kandungnya.
Situasi berkenaan walaupun jarang kedengaran tapi tetap berlaku dalam masyarakat hari ini. Ada anak yang tidak hormatkan ibu tiri dengan alasan bukan dia yang lahirkan mereka, ibu tiri mendera mental dan fizikal (ala-ala kisah dongeng Cinderella) dan bermacam lagi.
Renunglah, Islam adalah agama yang dibina atas rasa hormat dan kasih sayang. Keluarga pula adalah asas kepada individu dan negara. Islam begitu menitik beratkan pertautan antara kasih sayang dalam keluarga.
Namun sebagai ujian dalam aturan ALLAH SWT dalam hidup manusia, tidak ada hubungan yang sempurna. Ada kalanya sebuah keluarga itu sempurna terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak. Ada kalanya hanya suami dan isteri. Ada kalanya ibu dan anak. Ada kalanya hanya anak sahaja tanpa ayah dan ibu. Ini semua hikmah yang begitu mendalam maknanya.
Talian darah
Pendakwah, Ustaz Amly Asenar berpendapat, situasi ini semua memberi peluang untuk manusia saling melengkapi antara satu sama lain atas dasar kasih sayang. Saling menampung dan melupakan kekurangan diri. Saling memberi dan menerima. Ini yang menyebabkan kasih sayang itu mahal harganya. Sebagaimana Nabi Zakaria menjaga Maryam, Maryam menjaga Nabi Isa, Halimah As-Sa'diah menjaga Nabi Muhammad SAW, Abdul Mutalib menjaga Baginda SAW dan Baginda SAW menjaga Zaid bin Haritsah.
"Tiada ruang untuk terpinggir dalam Islam. Setiap orang mempunyai hak untuk dijaga dan diberikan kasih sayang sama ada berbentuk ahli keluarga, keluarga angkat, keluarga susuan dan kebajikan negara. Malangnya, dunia semakin melahirkan institusi yang bersifat material dan pentingkan diri.
"Antara kasih sayang yang tertinggi ialah kasih kepada ibu. Ibu dalam erti kata kasih sayang. Tidak kiralah sama ada ibu yang melahirkan, ibu angkat, ibu tiri dan ibu susuan. Kesemua mereka ini berperanan memberikan kasih sayang, menjaga dan mendidik," katanya kepada Rehal.
Menurut beliau, bagi seorang anak tanggungjawab sebenarnya ialah menjaga kembali ibu dengan kasih sayang. Kadangkala talian kasih sayang lebih kuat daripada talian darah. Inilah hikmah yang amat bermakna. Tidakkah kita terharu jika melihat ibu dan anak yang saling berkasih sayang sedangkan mereka tiada pertalian darah?
Situasi di atas adalah dalam konteks kasih sayang. Namun dalam konteks yang berkaitan dengan syariat, ada hak bagi ibu sebenar yang tidak ada pada ibu angkat dan lain-lain. Umpamanya seperti hak nasab, ketaatan, aurat dan sebagainya. Maka setiap kategori ibu ini perlu memahami posisi mereka dalam konteks syariat. Ini bukanlah bermaksud Islam merendahkan nilai kasih sayang yang telah mereka curahkan. Cuma untuk menjaga keutuhan sistem kekeluargaan yang menjadi teras dalam Islam.
Bagi si anak, hargailah sebaiknya setiap kasih sayang yang diberikan tanpa mengira ibu sebenar atau bukan. Tidak membezakan antara mereka sebagaimana mereka tidak membezakan ketika memberikan kasih sayang. Ibu angkat atau ibu tiri, apabila mereka mencurahkan kasih sayang maka mereka berhak dihormati dan disayangi.
Asasnya ialah berbuat kebaikan sesama manusia. Jika ALLAH menyuruh membuat kebaikan kepada semua manusia. Apatah lagi kepada insan yang telah banyak membuat pengorbanan secara khusus kepada kita walaupun mereka tiada pertalian darah. Mereka memeluk dan mengasihi anak angkat atau anak tiri seperti anak sendiri. Mereka ini lebih utama diberikan kebaikan dan kasih sayang.
Islam tidak letakkan hierarki siapa harus ditaati dahulu
Ramai mengajukan soalan antara ibu kandung, ibu mertua, ibu tiri, ibu susuan dan ibu angkat, siapa yang perlu didahulukan dan dihormati?
Pendakwah Ustaz MK Azman Daud menjelaskan, dalam konteks ini, kita harus faham kedudukan ibu kandung, ibu mertua, ibu tiri dan ibu susuan adalah sama dari segi hak, tanggungjawab dan batasan aurat. Cuma kedudukan mereka tidak sama hanya dalam aspek pewarisan harta pusaka. Manakala kedudukan ibu angkat adalah sama seperti orang luar kerana tidak ada kaitan dari segi hubungan darah dan perkahwinan.
Beliau menyambung lagi, seorang anak mempunyai hubungan rapat dengan ibu kandungnya kerana ada hubungan nasab keturunan. Manakala hubungannya dengan ibu mertua adalah kerana disebabkan perkahwinan dengan anak perempuannya. Ibu tiri mempunyai hubungan dengan anak tirinya melalui perkahwinan ayahnya.
Ibu susuan juga adalah mahramnya disebabkan hubungan penyusuan. Keempat-empat wanita ini adalah mahram kepada anak lelaki, iaitu wajib bagi seseorang anak itu untuk mentaati mereka.
"Kedudukan ibu angkat adalah tidak sama dengan keempat-empat wanita tadi kerana tiada pertalian antara anak angkat dan ibu angkat sama ada pertalian darah, perkahwinan mahupun disebabkan penyusuan. Maka tidak wajib untuk seseorang anak angkat untuk mentaati ibu angkatnya.
"Islam tidak meletakkan hierarki keutamaan siapa yang harus ditaati dahulu sama ada ibu kandung, ibu mertua, ibu tiri mahupun ibu susuan. Tanggungjawab anak terhadap mereka adalah sama. Berdasarkan kepada firman ALLAH SWT: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra': 23)," jelasnya.
Menurutnya, ibu tiri berhak mendapat layanan dan perlakuan yang baik daripada anak tirinya. Apatah lagi jika ibu tiri itu seorang isteri dan ibu yang baik, memberi kasih sayang tanpa berbelah bagi, menjaga keselamatan anak-anak tirinya dan menjalankan tanggungjawab sama seperti ibu kandung. Tidak wajar untuk anak-anak membenci dan memusuhi ibu tirinya hanya disebabkan rasa cemburu dan marah kerana berkahwin dengan ayahnya.
Eratkan silaturahim
Menghubungkan silaturahim dengan orang yang dicintai ayah amat disarankan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya bakti yang paling baik adalah jika seorang anak menyambung tali persaudaraan dengan orang yang dicintai ayahnya." (Riwayat Muslim & Tirmizi)
Perlu diingat, ketaatan bagi seorang anak terhadap ibunya termasuk ibu tiri tidak akan berubah walaupun ibunya bertindak zalim dan kejam terhadap dirinya. Apabila si ibu itu menyuruh anaknya melakukan perbuatan yang mensyirikkan ALLAH dan perbuatan lain yang bertentangan dengan agama, maka ketika itu si anak tidak perlu lagi untuk taat. Ibu yang menzalimi atau menganiaya anaknya dengan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai ibu akan dihisab dan dihukum oleh ALLAH. Begitulah juga jika ibu kandung dan ibu mertua memaksa anak menantunya bercerai tanpa sebab, maka si anak tidak boleh mematuhinya kerana ia bertentangan dengan hukum syarak.
Ustaz MK Azman berkata, sama ada anak lelaki atau perempuan, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mentaati ibunya.
"Dalam bicara ini saya tidak menyentuh mengenai kewajipan anak terhadap ibu angkatnya kerana kedudukan ibu angkatnya seperti orang luar. Bagaimana pula jika berlaku pertembungan antara kehendak suami dan kehendak ibu, siapa yang perlu didahului? Dalam hal ini, suami adalah pemimpin dalam rumah tangga. Maka wajib si isteri untuk mentaati suaminya berbanding ibunya. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, Taatlah kepada ALLAH, Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu." (Surah An-Nisa': 59)
"Jika isteri taat pada suaminya dan hal ini tidak disenangi oleh ibu si isteri sehingga ibunya meminta supaya si isteri itu meninggalkan suaminya, maka suruhan tersebut tidak boleh ditaati oleh si isteri kerana ia membawa kepada kemaksiatan. Bagi mewujudkan keharmonian rumah tangga, suami memainkan peranan yang cukup besar bagi meraikan keperluan dan bersikap ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya," kata beliau lagi.
Menurutnya, sebagai anak lelaki, berdosa sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu kandungnya yang masih hidup tetapi lebih suka melayani dan menggembirakan ibu angkat atau ibu mertua. Hal ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Bila ditanya kenapa buat begitu? Maka dijawab oleh si anak ini, malas nak balik kampung, jauh sangat. Ada pula yang jawab, biarlah ibu kat kampung dah ada adik-beradik lain yang jaga, ibu mertua tidak ada sesiapa yang jaga. Ada juga yang beralasan dia benci dengan ibu kandungnya, miskin, tak beri kasih sayang seperti mana yang dia dapat daripada ibu angkat ataupun ibu mertuanya.
Fahami ungkapan ini: "Ibumu seperti telaga. Telaga yang dipenuhi dengan keberkatan dan kasih sayang. Apabila ibumu sudah meninggal dunia, maka tertutup pintu keberkatan buatmu. Ibumu hanya miskin harta tapi dia kaya dengan kasih sayang. Setiap kali dalam fikiran dan doanya hanya dititipkan buatmu semoga engkau kembali ke pangkuannya."
Ketahuilah, betapa ramai anak-anak yang mengalami kesukaran dalam hidup, rezeki tidak pernah rasa cukup, keluarga yang dibina tidak rasa bahagia, hati tidak tenang, sentiasa ditimpa masalah. Setelah dihayati rupanya tidak ada keberkatan daripada seorang ibu. Seorang ibu yang berkecil hati dengan anak. Seorang ibu yang ditinggalkan dan diabaikan oleh anak. Kembalilah dan mohonlah ampun daripada ibumu. Insya-ALLAH hidup engkau akan diberkati.
Tolak ansur
Ustaz MK Azman berkata, kadangkala akan berlaku pertembungan antara permintaan ibu kandung dan ibu mertua dan dalam situasi berkenaan anak dan ibu bapa dianjurkan untuk berbincang dan bertolak ansur.
"Sebagai contoh jika ibu kandung membuat permintaan kepada anaknya untuk menghantarnya ke hospital manakala ibu mertua meminta menantu serta anaknya untuk balik ke kampung atas urusan penting pada tarikh yang sama, maka si anak dan menantu perlu berbincang dengan kedua-dua ibunya agar mereka tidak berkecil hati. Ibu bapa akan lebih faham jika masalah yang timbul itu dibincang secara baik.
"Ibu bapa juga perlu memahami bahawa anaknya juga mempunyai tanggungjawab terhadap ibu mertua. Adakalanya anak-anak tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan adil kepada kedua-dua belah pihak hanya disebabkan oleh sikap ibu bapa dan mertua yang ego dan pentingkan diri sendiri," jelasnya.
Konklusinya, terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar berbanding ayah. Ini kerana ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan ketika mengandung. Kedua, si ibu menghadapi saat getir ketika hendak melahirkan. Bertarung antara hidup dan mati. Ketiga, setelah anak dilahirkan si ibu menghabiskan banyak masanya untuk melayani kehendak dan ragam si anak.
Ibu sering bersabar dengan kerenah anak dan tidak putus-putus mencurahkan kasih sayang. Ketika si anak menghadapi masalah, maka ibulah tempatnya untuk mengadu. Atas kesukaran yang dihadapi oleh si ibu maka wajar si anak lebih taat, patuh dan layani dengan baik pada ibu berbanding bapanya.
Menarik
ReplyDelete