Pages

Wednesday, April 6, 2016

[JERANTUT] BAHAN SEJARAH DICARI


Bahan sejarah Jerantut dicari


Perpustakaan Awam Daerah Jerantut mencari individu yang memiliki dokumen bertulis atau dokumen lain berkaitan sejarah Jerantut untuk dipamerkan di perpustakaan itu.

Ketua Perpustakaan Awam Daerah Jerantut, Norizan Abdullah berkata, pihaknya menyediakan satu ruangan khas bagi menempatkan dokumen tersebut.

Menurutnya, ruang pameran Koleksi Daerah Jerantut itu diwujudkan sejak 2008 ketika perpustakaan awam yang dibina baharu itu dibuka.

“Koleksi yang kami miliki masih kurang, jadi kami mengharapkan kerjasama masyarakat daerah ini yang memiliki apa juga dokumen berkaitan sejarah daerah ini untuk ditempatkan di sini,” katanya.

Norizan berkata, ruangan itu penting untuk diwujudkan dengan dokumen sejarah yang lebih banyak bagi memudahkan pelancong atau masyarakat luar yang datang ke daerah ini mendapatkan rujukan.

Pihaknya turut mendapati ada individu yang memiliki dokumen sejarah daerah ini namun sayangnya koleksi mereka musnah ketika banjir besar yang melanda sebelum ini.

“Jadi, kami harap jika ada pihak yang masih menyimpan dan memiliki dokumen berkaitan supaya dapat dikongsi dan diletakkan di perpustakaan ini,” katanya.

Menurutnya, koleksi dokumen berkaitan sejarah Jerantut juga penting untuk golongan pelajar atau mahasiswa membuat rujukan.

Norizan berkata, pelbagai daya tarikan diwujudkan di Perpustakaan Awam Daerah Jerantut selain sebagai pusat bacaan.

“Kami menjadikan perpustakaan awam ini sebagai salah satu lokasi penganjuran aktiviti bertema setiap Jumaat setiap bulan.

“Pada bulan ini, kami akan mengetengahkan tema Mari Membaca 10 Minit di mana ia akan dilancarkan pada 25 April nanti bersama-sama dengan pelancaran Sahabat Perpustakaan,” katanya.

Katanya lagi, selain melakukan aktiviti di dalam perpustakaan, pihaknya juga berbesar hati untuk menerima sebarang jemputan bagi penganjuran program di lokasi lain.

Norizan turut mengalu-alukan rombongan dari mana-mana agensi atau jabatan mahupun persatuan untuk berkunjung ke Perpustakaan Awam Daerah Jerantut.

“Kami juga memiliki perpustakaan bergerak yang akan mempromosikan perkhidmatan kami di pelbagai lokasi,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor