
Batu Pahat - “Apa salah suami saya hingga dia dibunuh begitu kejam, setelah kematian arwah suami, (Noor Azee Abdul Rahman, 33) saya hilang tempat bergantung,” kata isteri pengawal keselamatan yang mati dibunuh, Khamis lalu, Hafizah Abdul Rahman, 33.
Menurut Hafizah, kini hanya anak kembarnya tempatnya menumpang kasih dan tanda ingatannya terhadap arwah suami.
“Dulu berdua, sekarang tinggal saya seorang untuk membesarkan kedua-dua anak (Mohamad Aiman Haziq dan Mohamad Aiman Hakim, 7). Tidak kurang dua minggu lagi, tambah seorang lagi cahaya mata, yang kini hanya menunggu masa sahaja untuk dilahirkan.
“Ada ketikanya juga dalam masa sama, anak kembar saya ni menangis dan meracau sebut nama ayahnya...saya faham mereka rindukan ayah mereka, walaupun mereka tahu ayah mereka dah tiada.
“Saya harap polis dapat cari dalang sebenar pembunuh arwah suami. Saya sendiri mahu lihat wajahnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bintang, semalam.
Sinar Harian 2 April lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui mati dibunuh di kebun kelapa sawit di Jalan Muar-Yong Peng, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, Khamis lalu.
Mayat Noor Azee ditemui dengan tangan diikat menggunakan ‘cable tight’ dan masih berpakaian kerja selain terdapat kesan tompokan darah di atas tanah berhampirannya.
Malah, dalam masa sama kesan kecederaan luka sepanjang lima inci dikesan di bahagian leher Allahyarham Noor Azee dipercayai akibat dikelar, namun motif pembunuhannya masih menjadi tanda tanya.
Menurut Hafizah, suaminya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian berkenaan.
“Bagaimanapun arwah lebih rapat dengan anak sulungnya, Aiman Haziq.Setiap hari mereka akan bergurau bersama... kini gurau tawa arwah tinggal kenangan,” katanya.
Sementara itu, kesedihan Hafizah sedikit terubat apabila menerima pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Johor, Muhamad Alif Haikal Cheong Abdullah berkata, waris layak mendapat pampasan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM1,500.
Katanya, dalam masa sama pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kelayakan waris untuk menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) memandangkan arwah meninggalkan isteri dan anak.
“Untuk pampasan lain seperti FOT ini kami masih menjalankan siasatan lanjut, dan daripada siasatan awal, waris pengawal keselamatan ini layak menerimanya,” katanya.
Turut menghulurkan bantuan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen, melalui Ahli Parlimennya, Datuk Noraini Ahmad yang menyumbang barangan keperluan harian dan wang tunai.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor