Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan terlibat meminta orang ramai membekalkan butiran peribadi melalui e-mel kononnya bagi memudahkan pemindahan dana ke akaun bank mereka.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata e-mel palsu yang didakwa ditandatangani oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh memaklumkan bahawa penerima mempunyai dana di POSB Bank di Singapura.
Asmawati berkata penerima e-mel juga diminta untuk menghubungi seorang lelaki bernama 'Encik JK Ritchie' yang kononnya pengurus bank berkenaan untuk membekalkan butiran peribadi.
"Ini adalah e-mel palsu dan Datuk Seri Mohmad Salleh mahupun PDRM tidak pernah terlibat di dalam sebarang bentuk sebaran e-mel sedemikian.
"Orang ramai dinasihat untuk tidak menghubungi individu yang dimaksudkan dalam e-mel berkenaan kerana ia jelas merupakan satu penipuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dalam menilai setiap e-mel atau apa jua bentuk mesej meragukan yang diterima melalui rangkaian komunikasi serta menghubungi pihak berwajib untuk pengesahan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor