Pages

Sunday, March 6, 2016

[KUANTAN] PASANGAN KEKASIH DICEKUP MILIKI DADAH JENIS SYABU


Pasangan kekasih dicekup miliki dadah jenis syabu


Sepasang kekasih yang dipercayai menjadikan sebuah rumah tamu di Kubang Buaya di sini sebagai transit mengedar dadah dicekup secara berasingan, pagi kelmarin.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, polis menemui sejumlah dadah jenis syabu daripada suspek lelaki dan sebahagian lagi ditemui dalam bilik rumah tamu dihuni wanita berusia 23 tahun yang disorok dalam kotak telefon bimbit dan laci kabinet televisyen.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek lelaki berusia 39 tahun di tempat letak kereta rumah tamu terbabit pada kira-kira jam 5 pagi.

Menurutnya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Kubang Buaya terserempak dengan seorang lelaki memandu kereta jenis Chevrolet Cruze dalam keadaan mencurigakan masuk dan berhenti di tempat letak kereta rumah tamu berkenaan.

“Curiga dengan kenderaan tersebut, polis bertindak menahan pemandunya untuk pemeriksaan.

“Hasilnya, polis menemui satu paket plastik mengandungi 12 paket kecil berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat lelaki itu mendedahkan menyimpan sejumlah dadah lagi dalam bilik teman wanitanya di rumah tamu tersebut.

“Berpandukan maklumat hasil pendedahan suspek itu, sepasukan anggota URB dan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kuantan melakukan serbuan ke sebuah bilik yang ditunjukkan dan menahan seorang wanita.

“Hasil pemeriksaan di bilik tersebut, kita menemui dan merampas enam paket plastik pelbagai saiz berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis syabu yang disorokkan dalam sebuah kotak telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui sepaket lagi dadah jenis sama dalam beg kain yang disembunyikan dalam laci bawah kabinet TV.

Katanya, anak kunci bilik dan wang tunai berjumlah RM123 dipercayai hasil jualan dadah turut dirampas.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abdul Aziz berkata, siasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dalam kegiatan dadah di daerah ini dan sasaran dadah itu diedarkan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor