Pages

Wednesday, March 30, 2016

NASIB MANGSA TOM YAM PANAS TERBELA


Nasib mangsa tom yam panas terbela


Kota Bharu- Seorang ibu bersyukur apabila keputusan mahkamah mengenai kes anak perempuannya yang melecur di badan akibat tersimbah tom yam panas dua tahun lalu di sebuah tadika dekat Telipot, memihak kepadanya.

Nor Ashikim Md Arifin, 30, melahirkan kegembiraan itu apabila mahkamah sesyen semalam, memerintahkan tadika berkenaan membayar ganti rugi RM403,018.74 kepada kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu telah membela nasib anaknya, Nur Airish Daniesya Norizal, 5, yang menderita berpanjangan kesan kecuaian pihak terbabit.

“Gembira dan syukur nasib anak saya terbela, sebelum ini mereka tuduh anak saya yang salah dan anggap ia sebagai kemalangan,” katanya semalam.

Terdahulu, Hakim Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan plantif, Nur Airish Daniesya Norizal.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi khas RM83,018.74, ganti rugi am, RM220,000 dan ganti rugi teladan RM100,000.

Plantif diwakili peguam Shamsul Baharin Abdullah manakala defendan diwakili peguam Norzaimah Mohamed

Nor Ashikim juga berkata, kesan kejadian hitam itu, anaknya kini seolah-olah trauma dan tidak boleh masuk ke dapur.

Lebih menyedihkan, anaknya yang berusia lima tahun itu melahirkan rasa malu dengan sahabat di sekolah baharunya.

“Mereka tanya pasal parut. Sekarang pun dia tidak mahu pakai baju lengan pendek,” katanya.

Katanya, sepanjang dua tahun itu dia berbelanja puluhan ribu ringgit bagi kos rawatan anaknya itu termasuk jumpa pakar plastik setiap enam bulan sekali di Hospital Universiti Sais Malaysia.

“Anak saya juga terpaksa pakai baju khas untuk parut dan perlu belanja besar kerana ia perlu digantikan supaya tidak mengakibatkan jangkitan kuman,” katanya.

Wang pampasan itu akan digunakan untuk menampung kos perubatan anaknya di Kuala Lumpur.

“Atas nasihat doktor, rawatan boleh dijalankan pada usianya tujuh tahun ke atas,” katanya.

Pada 3 Disember 2014, plaintif melalui peguam cara Tetuan Rozma Baharin & Co mengemukakan saman terhadap taska berkenaan dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM500,000 bagi kos rawatan, kesakitan, kesusahan serta trauma yang dialami, selain ganti rugi am dan teladan atas kecuaian dan kelalaian defendan dalam mengambil langkah keselamatan menguruskan taska berkenaan.

Pada 25 Ogos 2014, jam 10 pagi Nor Ashikim menerima panggilan telefon daripada suaminya, Norizal Alim, 33, memaklumkan anak mereka berada di Kota Bharu Medical Centre kerana kes kecemasan yang berlaku di tadika.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor