Pages

Wednesday, March 30, 2016

BOT BAWA KAKI PANCING HILANG


Bot bawa kaki pancing hilang


Bachok – Sebuah bot kelas A yang membawa 11 penumpang dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut untuk memancing pada Jumaat (25 Mac) lalu.

Bot milik Afendi Hussin, 36, itu keluar dari Kuala Kemasin membawa lapan pemancing yang menyewa pakej bot bersama seorang tekong dan dua awak-awak.

Difahamkan, bot itu sepatutnya pulang pada Ahad (27 Mac) namun ia tidak dapat dihubungi menggunakan ‘rig mobile’ sejak petang Sabtu.

Bot dengan nombor pendaftaran TFA 1382 itu dikatakan keluar membawa pemancing berdekatan pelantar minyak lawit petang Jumaat dan sepatutnya pulang pada Ahad.

Bimbang situasi buruk berlaku, Afendi segera membuat laporan polis semalam (Isnin) untuk membolehkan pihak berkenaan membuat pencarian di sekitar laluan bot berkenaan.

Salah seorang ahli keluarga mangsa, Mazlan Ismail, 38, berkata, dia hanya mengetahui kehilangan bot yang membawa abang iparnya, Nik Mohd Syukri Nik Mustafa, 49, selepas dimaklumkan rakan-rakannya semalam.

“Abang ipar saya mengikuti rombongan memancing dari kampung kami di Pantai Cahaya Bulan. Ini kali pertama dia pergi jauh ke pelantar minyak sebab biasa dia naik bot fiber sendiri dan memancing berdekatan kampung kami sahaja.

“Lepas dapat tahu hal itu saya hubungi rakan kepada pemilik bot di Pengkalan Petah dan benar dimaklumkan sebuah daripada tiga bot yang keluar bersama itu tak balik. Setakat ini saya masih belum dapat khabar sah mengenai bot yang membawa abang ipar saya itu, tetapi saya sendiri akan pantau melalui radio di pejabat ini. Saya harapkan kita sama-sama doakan mereka ditemui dengan selamat,” katanya yang bertugas di Pejabat Perikanan Tawang.

Katanya, Nik Mohd Syukri seorang kontraktor binaan dan mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya yang dikenali sebagai Nor Izati.

Belum ada berita

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Mohd Saripudin Isahak ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat berita mengenai bot berkenaan walaupun ada beberapa berita tersebar menerusi kumpulan WhatApps memaklumkan penemuan bot berkenaan yang selamat, namun hanyut berhampiran Thailand akibat rosak.

“Bot mereka berpecah dengan kumpulan bot-bot lain ketika keluar memancing hari itu. Setakat jam 1 petang ini (semalam) kita tak dapat sebarang maklumat kerana tak dapat hubungi mereka melalui radio. Kita hubungi Pulau Perhentian pun tak ada di sana.

“Biasanya kalau keluar memancing, tempoh dua tiga hari adalah kelaziman sebab perjalanan pun sudah mengambil masa hampir 20 jam. Kalau guna bot laju boleh sampai dalam lapan jam, tetapi kalau bot biasa ambil masa hingga 11 jam. Alhamdulillah, kita bersyukur kalau mereka selamat ditemui di Thailand. Tak mustahil juga bot mereka hanyut ke situ sebab lokasi pelantar minyak Lawit itu juga berdekatan sempadan Vietnam,” katanya.

Jelasnya, pihaknya tidak mengizinkan bot nelayan biasa turut keluar mencari disebabkan faktor keselamatan berikutan angin kencang dan ombak agak besar.

Katanya, petang Sabtu lalu juga sudah ada bot sekoci yang pecah akibat dibadai ombak. Dalam kejadian kira- kira jam 2 petang itu, Abdul Aziz Him, 62, bersama anaknya selamat selepas berjaya berenang ke tebing berhampiran.

Usaha mencari giat dilakukan

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkenaan daripada Afendi dan gerakan mencari segera dilakukan semalam menggunakan bot Penggalan 18 dan Penyelamat 7.

“Jarak di antara Pelantar Lawit dari Tok Bali ialah 65 batu nautika dan dari Kemasin ialah 64 batu nautika. Hari ini gerakan mencari diteruskan menggunakan aset Penyelamat 7 dan KM Amanah,” katanya.

Difahamkan, di Kuala Kemasin terdapat beberapa pemilik bot yang menyediakan kemudahan pakej bot untuk kaki pancing yang gemarkan aktiviti itu pada hujung minggu, termasuk pemancing dari luar Kelantan.

Antara nama pemancing yang diperoleh ialah Zakaria Kadir, 54; Mohd Suhaimi Abdul Kadir @Ghazali, 34; Nik Mohd Shukri Nik Mustafa, 49; Mohd Zaidi, 30; Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31; Mohd Zaidi Yaacob, 41; dan Suhaimi Mat Jusoh, 33.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor