Pages

Saturday, March 5, 2016

[LIPIS] LADANG GETAH DISERANG GAJAH


Ladang getah diserang gajah


Peserta projek Tanam Semula Berkelompok Getah (TSBG) Risda Kampung Kepong, di sini, bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah yang menceroboh kawasan ladang seluas 62 hektar berdekatan kampung itu.

Akibat serangan gajah tersebut, 39 peserta mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit apabila anak pokok getah yang berusia dua tahun dimusnahkan haiwan tersebut.

Selain anak pokok getah, tong air, pondok tempat berehat dan stor peralatan pertanian yang dibina pekebun turut musnah dirosakkan kawanan gajah liar itu.

Lebih membimbangkan peserta apabila kumpulan gajah dipercayai enam ekor itu, turut memasuki kawasan perkampungan dan memusnahkan beberapa pokok kelapa berhampiran kediaman penduduk.

Seorang peserta TSBG, Razali Bakar, 67, berkata, serangan gajah itu berlaku sejak petang Ahad lalu sehingga menjejaskan lebih 4 hektar kebun milik peserta.

“Saya dan rakan lain terpaksa tanggung kerugian apabila baja tanaman serta pondok tempat kami berehat dan simpan peralatan berkebun dirosakkan.

“Kumpulan gajah itu dipercayai dari kawasan Hutan Simpanan Hulu Jelai bermula dari Kampung Kuala Serau, Kuala Medang, Kampung Bertang dan Bukit Kota disebabkan habitatnya diganggu lalu menceroboh ke kawasan ladang kami untuk cari makanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi peserta, Zaiton Dilu, 53, berkata, dia bimbang gangguan gajah liar itu boleh mengancam keselamatan pekebun kerana haiwan itu masih berkeliaran di kawasan hutan berdekatan.

Katanya, lebih membimbangkan apabila kumpulan gajah itu mula menghampiri kawasan kampung dan tidak mustahil akan mengganggu manusia jika naik minyak.

“Buat sementara waktu, kira-kira 20 penduduk bergilir-gilir berjaga malam di kawasan kebun dengan membakar tayar untuk elak gajah masuk dan musnahkan tanaman kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Kota, Hamzah Hussin berkata, penduduk sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan bagaimanapun sehingga kini usaha menghalau atau pemantauan pergerakan gajah liar itu belum dijalankan pihak berkenaan.

Menurutnya, rata-rata peserta terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah dan mereka berharap kerajaan, khususnya Risda, dapat memberi bantuan benih getah dan baja untuk pengurusan menanam semula kawasan tanaman yang musnah.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor