Kuala Lumpur - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua objek ditemui di Aquaria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bukan bahan letupan seperti tersebar di laman sosial.
Beliau berkata dua objek berkenaan adalah bahan uji kaji dilakukan oleh pelajar yang melawat tempat itu petang semalam.
"Siasatan awal polis terhadap dua botol di KLCC bukannya bahan letupan tetapi bahan uji kaji lampu yang ditinggalkan oleh penuntut sekolah.
"Uji kaji lampu dalam botol ini dinamakan STARLAB oleh Petrosains kepada murid sekolah dan telah diberi kepada murid-murid sebagai cenderahati," kata Khalid dalam Twitternya.
Khalid berkata murid daripada sebuah sekolah di Bukit Beruntung, telah meninggalkan dua botol itu di KLCC, dan disyaki bom oleh individu yang menemuinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, objek berkenaan ditemui pada 5.15 petang tadi oleh seorang tukang cuci.
Menurutnya tukang cuci terbabit memaklumkan kepada pihak keselamatan Aquaria KLCC pada 5.30 petang.
"Kami yang menerima laporan tentang objek berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) serta Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, UPB telah memusnahkan objek itu kira-kira 8 malam dengan menggunakan robot UPB.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi KLCC, Kuzaimah Idris mengesahkan bahawa dua objek yang tidak dapat dipastikan telah ditinggalkan di ruang legar pusat konvensyen berkenaan.
"Pihak berkuasa telah mengambil segala langkah yang sepatutnya dan keadaan kembali normal kira-kira 8 malam semalam.
"Keselamatan delegasi, pengunjung dan tetamu tetap menjadi keutamaan kami, dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor