Putrajaya: Kira-kira 3,000 tan makanan dibuang sehari di Malaysia dan ia pembaziran yang boleh dielak, kata Ketua
Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Dr Sharif Haron.
Merujuk statistik pengendali sisa pepejal dan pembersihan awam SW Corporation itu, beliau berkata makanan yang dibuang itu termasuk yang belum disentuh dan masih boleh dimakan.
Berikutan itu, katanya, kerajaan menggerakkan inisiatif Save Food Malaysia (MYSaveFood) tahun lalu, sebagai usaha mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan di negara ini.
“MySaveFood diwujudkan berdasarkan SaveFood Campaign, inisiatif global yang diperkenal Messe Duseeldorf Group di Berlin, Jerman, pada 2011, dengan kerjasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO),” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu Ke-33 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Sharif berkata FAO menganggarkan satu pertiga makanan yang dihasilkan atau 1.3 bilion metrik tan bernilai RM4.4 trilion di dunia hilang atau dibazirkan.
Mardi dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani menjadi koordinator inisiatif MYSaveFood di Malaysia bagi menjalankan kempen meningkatkan kesedaran mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor