Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah bernilai RM1.4 juta dalam tiga serbuan berasingan di Kedah dan Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan Jumaat dan Sabtu lepas itu, pihaknya turut menahan 17 individu tempatan dan seorang wanita warga Thailand.
Mereka berusia antara 16 hingga 47 tahun.
"Semua serbuan dan penahanan suspek bermula pada pukul 5.15 petang Jumaat dan berakhir 9.30 pagi Sabtu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan pertama pada Jumaat dilakukan di sekitar kawasan Kampung Kuala Muda; Padang Matsirat, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Taman Seroja Kuah.
"Hasil serbuan itu, polis merampas sebanyak 3,612 biji disyaki pil ekstasi, serbuk dan ketulan heroin seberat 4.4 kilogram serta menahan tiga lelaki dan empat wanita tempatan," katanya.
Polis turut merampas tiga buah kereta mewah antaranya Honda Civic; dan wang tunai RM10,568.
Dalam serbuan kedua pada Sabtu di Taman Teja, Changlun, Kedah, polis merampas 248 ketulan mampat disyaki ganja seberat 247.1kg dan menahan tiga wanita termasuk seorang daripadanya warga Thailand serta seorang lelaki.
"Serbuan itu turut merampas dua buah motosikal, sebuah kereta jenis proton saga dan seutas jam tangan berjenama," katanya.
Manakala serbuan ketiga pada hari yang sama, dilakukan di Taman Mawar; Kuala Terla, Kampung Raja; Cameron Highlands di Pahang.
Serbuan itu membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki syabu seberat 2.1 kilogram, sejumlah bahan kimia dan peralatan memproses dadah.
"Dalam serbuan itu kami menahan tujuh lelaki dan turut merampas enam buah kereta antaranya jenis Toyota Camry dan Honda Ferio," katanya.
Beliau berkata, semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula Ahad lepas mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor