Sik - Seorang ibu kepada dua anak dari Kampung Durian Burung di sini yang baru kematian bekas suami merayu kepada masyarakat agar menghentikan tohmahan berkaitan kematian Allahyarham.
Katanya, dalam insiden kemalangan pada 28 Januari lalu, mangsa, Mohd Fandy Harunarshid, 31, maut setelah bertembung dengan sebuah lori ikan ketika dalam perjalanan menuju ke rumah di Kampung Banggol Derdap, Sik dari Sungai Petani.
Bekas isterinya, Siti Aisyah Muhamad Razli, 26, berkata, dia terkilan dengan segelintir pihak yang masih lagi memburuk-burukkan arwah disebabkan kemalangan itu.
Menurutnya, pihak berkenaan menuduh bekas suaminya berada di bawah pengaruh dadah selain tuduhan liar lain.
“Saya rasa sedih dengan tuduhan sebegini sebab dah 10 tahun kenal hati budi arwah. Mengenai perceraian kami itu kerana suratan dari ALLAH, jodoh kami tidak panjang.
“Peribadi arwah juga sangat baik, mudah tolong orang. Dia juga tak lepas tangan membantu saya besarkan anak-anak kami,” katanya.
Siti Aisyah berkata, kedua-dua anaknya, Muhammad Afif Qayyum, 8, dan Muhammad Qusyairi, 6, masih merindui pemergian ayah kandung mereka sehingga selalu demam panas sejak Allahyarham dikebumikan.
“Anak sulung Alhamdulillah dah sihat, tapi anak kedua masih lagi demam. Anak kedua ni kalau teringat kat arwah cepat-cepat baca doa ibu bapa yang diajar guru di tadika,” katanya.
Siti Aisyah berkata, sebelum ini tanggungan untuk membesarkan anak-anak dibantu bekas suaminya, namun kini dia terpaksa melakukan semuanya sendiri.
"Saya ambil upah menoreh dengan ibu dan ayah. Harap-harap dapatlah bantuan daripada mana-mana pihak," katanya.
Tambahan pula katanya, anak sulungnya menderita kecacatan otak di sebelah kiri sejak lahir dan tidak mampu melakukan aktiviti berat seperti kanak-kanak lain.
Bagi mana-mana pihak yang bersimpati dengan nasib Siti Aisyah boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Simpanan Nasional (nombor akaun 02115-29-00018784-5) atas nama Siti Aisyah Mohamad Razli atau menghubunginya di talian 019-5196940.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor