Pages

Tuesday, February 9, 2016

JANGAN NAIK HARGA SESUKA HATI


Jangan naik harga sesuka hati


Banting - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Kuala Langat dan Sepang terus mengadakan pemantauan harga barang sehingga 14 Februari ini.

Pegawainya, Mohamad Ziyad Kamaluddin berkata, penguat kuasanya sudah diberi tanggungjawab membuat pemeriksaan premis terutama melibatkan aduan membabitkan pasar awam, kedai runcit dan restoran di dua daerah.

Menurutnya, pemantauan itu bertujuan memastikan peniaga mematuhi harga barang kawalan sepanjang tempoh tersebut membabitkan 12 jenis barang bagi negeri ini selain tidak menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Buat masa ini pemeriksaan akan diteruskan dan kita minta peniaga tidak bersikap sambil lewa terhadap arahan yang kita keluarkan.

“Kita sendiri akan turun padang memantau sekiranya terdapat aduan dan kita ambil tindakan jika didapati berlaku kenaikan harga barang tidak munasabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan berkala turut dilakukan di pasar awam.

"Baru-baru ini, seramai 10 anggota kami membuat pemeriksaan di pasar awam dan beberapa kedai runcit sekitar Banting bagi melihat sendiri harga barang dipamerkan.

“Kita mendapati kebanyakan peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Tumbang Sukat dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan berlaku kenaikan harga barang hingga menimbulkan kebimbangan pengguna.

Malah, pengguna menggesa pemantauan berterusan dilakukan terutama musim perayaan bagi mengelakkan peniaga mengaut keuntungan berlipat ganda hingga membebankan mereka.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor