Pages

Tuesday, February 16, 2016

[ROMPIN] WARGA EMAS TERLANTAR DI HOSPITAL TANPA WARIS


Warga emas terlantar di hospital tanpa waris


Seorang warga emas yang terlantar di Hospital Rompin sejak kira-kira dua bulan lalu hingga kini masih belum dituntut atau dijenguk oleh warisnya atau kenalannya selepas beliau diserang strok ketika sedang bekerja di sebuah stesen minyak di Kuantan.

Kisah Abdullah Ismail, 77, yang pernah disiarkan akhbar ini pada 15 Januari lalu dipercayai berasal dari Kulim, Kedah diserang strok November lalu hingga menyebabkan bahagian kiri badannya lumpuh dan turut menjejaskan ingatannya.

Pegawai Psikologi JKM Rompin, Noor Adila Junaidek, berkata, ada usaha daripada pihak tertentu yang simpati turut menviralkan kisah warga emas ini di media sosial sejak minggu lalu namun hingga kini tetap tiada waris yang menghubungi.

“Setakat ini tiada laporan hilang berkaitan warga emas ini kerana dia dipercayai bukan hilang sebaliknya menurut keluarga angkatnya di Kuantan, dia merantau ke Kuantan sekitar tahun 1970-an. Maklumat peribadi pula beliau dipercayai berasal dari Kampung Karangan, Kulim, Kedah.

“Berdasarkan temubual dengannya, beliau ada mengatakan mempunyai seorang adik perempuan tetapi status adiknya itu tidak dapat dipastikan selain nama yang disebut berubah-berubah yang mungkin disebabkan ingatannya yang terjejas akibat serangan strok,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak beberapa hari lalu kisah warga emas ini mendapat perhatian warga maya selepas kisahnya viral di media sosial seperti facebook dan whatsapp.

Dalam pada itu, Noor Adila turut memberitahu pihaknya kini dalam proses permohonan untuk memasukkan warga emas berkenaan di Rumah Ehsan untuk tujuan perlindungan dan penjagaan.

Bagaimana pun beliau turut memohon ahli keluarga, waris atau mana-mana pihak yang mengenali warga emas itu supaya tampil bagi memudahkan urusan kerana keluarga angkatnya di Kuantan juga tidak jelas mengenai latar belakangnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pejabat JKM Rompin di talian 09-4145278 atau Hospital Rompin di talian 09-4141305/2016.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor