Pages

Saturday, February 27, 2016

OPERASI PADAM KEBAKARAN BUKIT BATU KAPUR SELESAI ESOK


Hutan Bukit Batu Kapur di Gombak terbakar


Kuala Lumpur - Operasi memadam kebakaran di Bukit Batu Kapur, Kampung Sri Gombak dekat Batu Caves di sini, dijangka selesai sepenuhnya esok, selepas hampir 99 peratus kawasan terbabit sudah dipadamkan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, memandangkan risiko api merebak semula kerana angin kuat, pihaknya sedang menjalankan peminggaran untuk memastikan api tidak merebak semula.

"Sekarang tinggal bara-bara api sahaja. Namun, kami bersiap sedia 24 jam di sini sehingga esok bagi memantau keadaan...kebiasaannya, kawasan yang perlu diberi tumpuan akan dapat dilihat pada waktu malam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azrul Khairi berkata, sebanyak tujuh jentera dan 60 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang, Batu Arang, Kuala Kubu Bharu dan Gombak Selatan terlibat dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, penduduk Zulhairi Jaafar, 32 berkata dia bimbang insiden itu, yang pertama kali berlaku, bakal berulang dan menjejaskan penduduk setempat kerana kebakaran bukit itu berlaku hampir dengan tempat tinggal mereka.

"Rumah saya kira-kira 300 meter dari lokasi kebakaran tetapi saya bimbang kebakaran boleh jadi balik... tadi saya nampak asap di beberapa kawasan asap ada balik.

"Saya harap pihak yang menjadi punca kebakaran ini tidak mengulangi perbuatannya kerana ina akan memudaratkan penduduk berhampiran," katanya yang menetap di kampung berkenaan sejak 15 tahun lalu.

Akibat kejadian itu, beliau bersama anak-anaknya yang berada di rumah, terpaksa keluar berikutan asap memenuhi ruang rumah mereka selain api kelihatan marak cepat akibat angin kuat.

Semalam, kawasan hutan seluas 12 hektar yang terletak kira-kira satu kilometer dari kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves terbakar, dipercayai berpunca daripada perbuatan pembakaran sampah secara terbuka.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor