Pages

Wednesday, February 3, 2016

MUKHRIZ SAH LETAK JAWATAN, NAMA MENTERI BESAR KEDAH BAHARU DIUMUM HARI INI


Mukhriz sah letak jawatan, nama Menteri Besar Kedah baharu diumum hari ini


Alor Setar: Kemelut politik Kedah yang berlarutan hampir dua minggu bakal menemui noktah apabila menteri besarnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kini sah akan digantikan.

Menurut sumber terdekat dengan menteri besar, Mukhriz dikatakan sudah dimaklumkan oleh pihak istana dan beliau akan mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Negeri Wisma Darul Aman, jam 10 pagi Rabu berhubung keputusan itu.

Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ketika dihubungi meminta pihak media bersedia untuk satu sidang media khas, bagaimanapun tidak dinyatakan butiran lanjut.




Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, kebanyakan wakil rakyat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan gambaran mengenai perubahan tampuk pentadbiran negeri itu yang bakal menyaksikan Mukhriz digantikan.

Menurut mereka, kemelut politik negeri semakin hampir ke penghujung dan harapan melihat pembaharuan pentadbiran seperti disuarakan dalam sidang media di Hotel Grand Alora, di sini pada 20 Januari lalu makin pasti dapat dicapai.

Difahamkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah membuat keputusan selepas semua 21 ADUN Barisan Nasional (BN) dan 15 pembangkang dipanggil menghadap semalam dan dua hari lalu.

Secara prinsip, Mukhriz akur dengan kehendak parti dan bersedia melepaskan jawatan, manakala Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas menemui semua ADUN membuat kesimpulan bahawa Mukhriz telah hilang sokongan majoriti.

Berdasarkan maklumat diterima, Jemaah Pemangku Sultan Kedah dimaklumkan berpuas hati dengan kenyataan semua ADUN yang dipanggil menghadap dan kini hanya menunggu keputusan penting yang akan diumumkan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, dalam tempoh terdekat.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor