Bestari Jaya - Penemuan mayat dalam guni yang terapung di dalam lombong terbiar berhampiran Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya menggemparkan penduduk setempat, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 640 petang itu, mayat ditemui orang awam yang sedang memancing di kawasan lombong itu sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Lokasi penemuan mayat misteri itu dalam jarak lebih kurang enam kilometer di sebuah lombong terbiar yang terletak di belakang universiti itu. Mayat ditemui 0.9 meter dari tebing lombong.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat terbabit dan kes terbabit diklasifikasikan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki Melayu yang memaklumkan penemuan mayat itu ketika memancing di kawasan lombong terbiar terbabit.
"Hasil siasatan awal mendapati, mayat lelaki dalam keadaan tersarung dengan guni plastik beras dari paras kepala sehingga separuh badan itu memakai seluar pendek berwarna hitam bersaiz XXL.
"Keadaan tangan dan kaki terikat dengan dawai dan pada masa sama, diikat pada dua batang besi. Terdapat sehelai kain pelikat bercorak petak hitam putih di atas perut mayat itu," katanya.
Ruslan berkata, setakat ini tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan mayat yang belum dikenalpasti bangsa itu dipercayai dalam proses pereputan kerana berada di dalam air dalam tempoh lebih kurang empat hari.
"Ketinggian mayat lebih kurang lima kaki tujuh inci dan berbadan gempal. Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat pada jam 9pagi esok," katanya dalam siasatan yang turut dibantu Unit Forensik IPK Selangor.
Kerjasama orang ramai penting bagi mengesan identiti mayat ini dan mana-mana penduduk yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat, boleh berhubung Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramle Bakar di talian 0125112034 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor