Pages

Sunday, February 14, 2016

‘ALLAHYARHAM BUKAN GENGSTER'


‘Allahyarham bukan gengster’


Seberang Perai Utara - "Arwah seorang yang baik dan suka tolong orang, sesiapa yang kata arwah seorang gengster, mereka tak pernah kenal arwah.”

Itu antara kata-kata sahabat kepada pengusaha restoran nasi kandar, Syed Amen Jainul Abdin, 46, yang maut ditembak di Jalan Dato Keramat, awal pagi kelmarin.

Azman Ali, 51 berkata, sepanjang mengenali Amen, arwah seorang yang rajin membantu dan sering membuat amal kebajikan.

“Pada saya, siapa kata Amen seorang gengster dan keras kepala adalah silap, mereka yang kata macam tu memang langsung tak kenal dia.

“Amen rajin bantu mereka yang memerlukan, dan setahu saya, dia banyak menyumbang terutamanya kepada rumah kebajikan dan anak yatim,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas terkena lima das tembakan di kepala, badan dan tangan.

Katanya, dia masih lagi sedih dengan kehilangan arwah biarpun kejadian itu hampir dua hari berlalu.

“Saya selalu bersamanya, kadang kala bila saya lapang saya akan ke kedai cuci kereta miliknya.

“Memang sedih, teringat lagi masa kami bergurau senda, tak sangka dia akan pergi dulu sebelum saya,” katanya pada sidang media anjuran Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia atau Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom berkata, pihaknya meminta polis segera ambil tindakan.

“Kami berharap polis dapat selesaikan perkara ini agar suspek segera menerima hukuman setimpal.

“Perkara ini kalau dibiarkan ianya akan berleluasa, jadi polis perlu pantau dan ambil tindakan segera dalam kes sebegini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor