Jabatan perikanan mengesahkan penyu yang ditemui mati di pesisir Pantai Teluk Cempedak di sini, kelmarin berpunca daripada kipas bot nelayan sebelum hanyut ke pantai itu.
Penyu agar betina sepanjang 1.18 meter dipercayai berusia lapan tahun itu dikatakan mati sejak seminggu lalu selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian cengkerang.
Pengarahnya, Adnan Hussain berkata, kes penyu mati itu adalah yang pertama tahun ini tetapi sebanyak lapan kematian tahun lalu membabitkan penyu jenis agar.
Menurutnya, selain terkena kipas bot nelayan, punca lain kematian penyu itu ialah perbuatan khianat nelayan yang bertindak membunuhnya selepas terperangkap dalam pukat mereka.
Katanya, siasatan jabatan mendapati perbuatan membunuh penyu banyak dilakukan nelayan asing yang bertindak demikian untuk melepaskan reptilia berkenaan yang terperangkap dalam pukat.
“Kes penyu mati dibunuh oleh nelayan setiap tahun berlaku di negeri ini, sebagai contoh tahun lalu sebanyak lapan ekor dan pada 2014 jumlahnya bertambah kepada sembilan ekor," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, kebanyakan kes kematian disebabkan dibunuh dan kesan cedera pada beberapa bahagian seperti kepala dan cengkerang menjadi bukti reptilia itu diperlakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Adnan berkata, setiap tahun pihaknya mengadakan program kesedaran terhadap kepentingan menjaga penyu yang disertai golongan nelayan tempatan dan usaha itu dianggap berjaya.
“Maklum balas yang diterima mendapati perbuatan membunuh penyu yang terperangkap dalam pukat kebanyakan dilakukan oleh nelayan asing yang menceroboh perairan negara ini,” katanya.
Beliau turut menasihati nelayan tempatan supaya tidak membunuh penyu bagi mengelak berlakunya kepupusan selain berdosa.
Katanya, usaha jabatan menambah jumlah penyu di perairan negara tidak akan berhasil sekiranya reptilia terus menjadi mangsa manusia tidak bertanggungjawab.
“Saya minta mereka yang terjumpa bangkai penyu di pesisir pantai negeri ini supaya segera menghubungi Jabatan Perikanan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor