Operasi pembersihan sisa bauksit di jalan-jalan awam yang terjejas dijangka selesai hari ini dan kerja-kerja terbabit selesai lebih awal berbanding tempoh diberikan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebelum ini, tempoh sebulan sehingga 14 Februari ini diberikan untuk operasi berkenaan.
Menurutnya, melibatkan seramai kira-kira 100 anggota sehari, kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan jayanya dan penuh komited.
“Kita juga memanjangkan jarak pembersihan sehingga 70 kilometer (km) berbanding 45km sebelum ini, membabitkan Jalan Sungai Ular.
“Bagaimanapun, pihak kami masih membuat pemantauan di kawasan terlibat sekiranya ada permintaan dari orang awam supaya membersihkan kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi pembersihan di Jalan Gebeng di sini, semalam.
Beliau berkata, komitmen diberikan anggota bomba, kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), SwCorp, Alam Flora, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penjara Malaysia serta Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti negeri berjaya mempercepatkan operasi pembersihan itu.
“Kita bersih semua yang kotor termasuk pembahagi jalan, papan tanda, tiang lampu dan jalan.
“Pihak bomba dan penyelamat menempatkan 20 hingga 25 anggota setiap hari untuk memastikan operasi pembersihan berjalan lancar,” katanya.
Abdul Wahab berkata, walaupun cuaca tidak menentu, operasi tetap berjalan seperti biasa.
Operasi semalam melibatkan seramai 40 anggota bomba, 32 kakitangan MPK, 22 kakitangan Alam Flora, Sembilan kakitangan JKR dan tujuh kakitangan Jabatan Penjara dan Parol.
Pada 13 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Kabinet mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang bermula 14 Januari 2016.
Kerja pembersihan itu dilakukan susulan keluhan dan aduan daripada penduduk setempat yang terjejas dengan aktiviti terbabit.
Operasi melibatkan pembersihan papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu dan mencuci permukaan jalan terutama di jalan terjejas teruk.
Antara jalan terlibat ialah Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor