Pages

Thursday, February 18, 2016

[JERANTUT] NASIB WARGA EMAS DAPAT PERHATIAN


Nasib warga emas dapat perhatian


Nasib seorang warga emas yang juga mangsa kebakaran di Perumahan Awam Kos Rendah di sini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris yang menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya.

Zainab Jaafar, 62, mendakwa, dia kerugian ribuan ringgit selepas sebahagian rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran akhir bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah menerima sumbangan segera sebanyak RM1,000 dan sumbangan susulan bernilai RM5,000 untuk membaiki rumah akan diterima dalam tempoh terdekat.

Ketika mengimbas kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu, Zainab memberitahu dia terlupa menutup api dapur gas sebelum leka membakar sampah di halaman rumah.

“Selepas bakar sampah, saya ke rumah jiran dan tak lama kemudian api marak membakar bahagian dapur. Mujurlah anak saya terus bergegas telefon bomba, bomba pula berjaya kawal kebakaran dari merebak ke rumah jiran,” katanya.

Sementara itu, Sabtu lalu, Ahmad Nazlan melawat dan meninjau keadaan rumah warga emas itu termasuk ruang dapur yang terjejas teruk akibat kejadian berkenaan.

Beliau bersimpati dengan nasib Zainab dan akan mendapatkan bantuan dana kecemasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan yang akan menyusul pula sebanyak RM5,000 untuk menampung membeli peralatan baik pulih dapur rumah itu. 

Saya harap bantuan ini dapat meringankan beban Zainab dan ahli keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut berkata, Pejabat Parlimen Bahagian Jerantut melancarkan program galakan penyertaan skim perlindungan insurans dalam kalangan ketua kampung, ketua Umno cawangan, tok imam serta jawatankuasa masing-masing mulai tahun ini.

Katanya, skim perlindungan insurans membabitkan penyertaan secara sukarela dilancarkan bagi membantu mangsa yang kehilangan nyawa, kecacatan anggota dan kerosakan harta benda.

“Kemudahan caruman bagi setiap orang sebanyak RM50 setahun, manakala bayaran (caruman) selebihnya akan dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Parlimen Jerantut,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor