Marang - Seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Marang pada 24 Januari lalu akhirnya berjaya ditahan semula di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong di sini, kira-kira jam 3.20 petang, semalam.
Banduan berusia 23 tahun itu sebelum ini menjalani hukuman kerana kesalahan mencuri dalam bangunan bermula pada 3 Januari lalu dan sepatutnya dibebaskan 3 Mei depan ditahan semula hasil maklumat awam.
Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, banduan yang lari dari penjara kira-kira dua minggu lalu itu, juga difahamkan bersembunyi di beberapa lokasi termasuk bangsal tidak diduduki dan di dalam hutan.
“Banduan dalam keadaan kelaparan itu kemudiannya ke Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong dan kita difahamkan dia (banduan) sudah berada di kampung itu sejak tiga hari lalu sebelum orang awam mengadu mengenainya.
“Satu unit MPV kemudiannya menuju ke lokasi berjumpa pengadu dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit adalah suspek yang dicari dan kita juga difahamkan pengadu mempunyai pertalian persaudaraan dengan suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Marang di sini, hari ini.
Beliau berkata, banduan terbabit kemudiannya di bawa ke Mahkamah Majistret Marang hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan banduan itu disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang banduan berasal dari Kampung Paya Resak, Marang menggunakan helah untuk ke tandas sebelum meloloskan diri ketika mengikuti kelas agama di Penjara Marang 24 Januari lalu.
Pemuda terbabit yang menjalani hukuman penjara selama enam bulan penjara bermula 3 Januari lalu kerana kesalahan mencuri dalam bangunan dipercayai melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang tandas berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor