Pages

Wednesday, February 17, 2016

AIR SUNGAI MASIH HITAM, BUSUK


Air sungai masih hitam, busuk


Sungai Sembilang - Masih hitam dan berbau busuk. Demikian keadaan air sungai di kawasan kampung ini yang terus menghantui penduduk setempat sehingga menjejaskan pendapatan nelayan darat.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Jeram, Muhammad Rashid Muhammad Kassim menjelaskan, pencemaran yang berpunca daripada aktiviti perindustrian di kawasan itu mengundang rungutan penduduk kerana sudah berlarutan sejak lebih lima tahun.

Menurutnya, kesan pencemaran itu bukan sahaja memusnahkan hidupan sungai malah menjejaskan kawasan ternakan kerang di perairan berhampiran apabila sisa toksik disalurkan terus ke laut.

“Masalah ini dibawa ke pengetahuan Exco berkaitan memandangkan pencemaran di Bagan Sungai Buloh dapat perhatian kerajaan negeri apabila tinjauan dibuat di kawasan bermasalah.

“Bagaimanapun, perlu ada pemantauan berterusan untuk bendung pencemaran ini, sebab tak mahu ia jadi lebih serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Rashid yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Selangor menjelaskan, kerajaan negeri perlu ada perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai di negeri ini.

“Sungai yang ada di Kuala Selangor juga tak terlepas menjadi lokasi pencemaran seperti di Sungai Buloh Jeram dan Sungai Sembilang akibat aktiviti perindustrian yang tak terkawal. Masalah ini banyak kali dibangkitkan untuk perhatian kerajaan negeri bahkan Exco berkaitan sudah turun meninjau kawasan.

“Bagaimanapun, ia masih lagi belum dapat diselesaikan kerana pencemaran itu masih ada dan kadang-kadang ‘bermusim’. Yang terpaksa menanggung akibat adalah nelayan.

“Lagi teruk apabila sungai tercemar di Sungai Sembilang pula terus mengalir ke Pantai Remis yang menjadi tumpuan pelancong...sebab itu saya harap pendekatan jangka panjang dapat diambil,” katanya.

Sebelum ini, Lajnah Alam Sekitar Pas Kawasan Kuala Selangor pernah membangkitkan isu sama apabila menerima aduan penduduk yang tidak sanggup menanggung bau busuk.

Task force diwujudkan bagi meninjau beberapa kawasan yang didakwa bermasalah akibat pencemaran di kawasan Kuala Selangor sebelum disalurkan ke pengetahuan Lajnah Alam Sekitar Pas peringkat negeri untuk tindakan selanjutnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor