Kuala Terengganu - Hampir 300 hektar kawasan tanaman kelapa di seluruh negeri Terengganu musnah akibat diserang kumbang merah palma sejak 2010 hingga sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri Nawi Mohamad berkata kawasan yang paling terjejas diserang kumbang merah palma itu ialah Dungun dan Setiu.
"Terengganu antara negeri yang agak serius (teruk) mendapat serangan serangga ini, namun setakat ini ia masih belum menyerang pokok kelapa sawit, yang terjejas cuma pokok kelapa pandan, kelapa mawar dan pokok kurma hiasan" katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis taklimat ancaman serangan perosak kumbang merah palma terhadap industri tanaman palma di negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Faridah Aini Muhamad dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri Mohd Nasir Warris.
Sehubungan itu, Nawi berkata kerajaan negeri akan mengambil langkah segera melalui Jabatan Pertanian mengawal dan membendung masalah itu bagi memastikan industri palma tidak terjejas pada masa depan.
Beliau berkata, daripada kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian pokok kurma hiasan menjadi agen utama pembiakan kumbang merah palma.
Nawi menasihatkan mereka yang suka menanam pokok kurma hiasan supaya tidak lagi menanam pokok kurma hiasan itu bagi mengelak kumbang merah palma membiak dan sekali gus menyelamatKAN tanaman palma di negeri ini.
"Orang ramai perlu meminta kebenaran daripada Jabatan Pertanian jika hendak menanam juga tanaman tersebut," katanya.
Faridah Aini pula berkata Jabatan Pertanian akan mengadakan kempen membendung, mengawal dan menghapus kumbang merah palma di negeri Terengganu tahun ini.
Katanya kempen itu melibatkan aktiviti hebahan kepada orang ramai, mengesan kehadiran perosak dan mengadakan aktiviti kawalan secara berterusan dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan.
Taklimat itu telah dihadiri lebih 250 orang peserta terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, pihak industri, pengusaha ladang, pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan penanaman pokok palma.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor