Balakong - Pengusaha kilang di Taman Industri Selesa Jaya kini tidak lagi berasa ‘selesa’ apabila kawasan berkenaan kerap menjadi sasaran penjenayah sejak kebelakangan ini.
Kes kecurian kenderaan dan harta benda, rompakan, kehilangan kabel telekomunikasi bawah tanah, kilang dipecah masuk malah ada pekerja kilang dilaporkan pernah diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Pemilik kilang, Tan Chen Hoe, 56, berkata, bengkel kenderaannya sudah dua kali dipecah masuk akhir tahun lalu.
“Penjenayah makin berani, mereka melakukan jenayah pada waktu siang ketika cuti umum baru-baru ini.
“Saya rugi hampir RM40,000, barangan besi dalam kilang dilarikan, bukan itu saja kereta pacuan empat roda milik pelanggan yang siap dibaiki turut dicuri” katanya.
Chen Hoe berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penjenayah didapati menggunakan lori untuk memindahkan barang dari bengkelnya dan kemudia dipercayai dijual kepada kedai besi buruk.
“Pekerja saya pernah diragut di depan kilang pada awal Disember lalu.
“Sekarang saya rasa tak tenang nak tinggalkan kilang, bila tidur asyik terfikir-fikir keselamatan bengkel,” katanya.
Pemilik kilang barang kejuruteraan, Chan Yen Man, 53, berkata, dia pula menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila van jenis Nissan Vanette yang diletakkan di depan kilang hilang pada 24 Disember lalu.
“Saya tinggalkan van kira-kira jam 9.30 malam, esoknya bila sampai kilang...saya tengok dah tak ada, habis semua peralatan mesin yang berada dalam van turut dibawa lari ,”katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kilang Taman Industri Selesa Jaya, Cheong Seng Kee berkata, dia banyak menerima aduan mengenai kes jenayah berlaku di kawasan kilang tersebut.
“Kawasan industri dibahagi kepada empat zon itu mempunyai kira-kira 500 kilang dan mempunyai pengawal keselamatan yang hanya melakukan rondaan, namun jumlahnya tidak mencukupi.
“Persatuan bercadang memasang palang keselamatan kerana terlalu banyak laluan akses keluar masuk ke kawasan kilang, kami harap dapat kerjasama daripada pemilik kilang di kawasan ini,” katanya.
Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, beliau dan ahli majlis akan membantu persatuan memohon segala permit berkaitan daripada pejabat tanah dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi mendirikan pondok keselamatan.
“Apa yang diharapkan pengilang di sini dapat memberi kerjasama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di sini ,”katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor