Pages

Sunday, January 10, 2016

SULTAN JOHOR SUMBANG RM50 JUTA KEPADA JDT


Sultan Johor sumbang RM50 juta kepada JDT


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan memberikan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Memetik kenyataan daripada laman rasmi Johor Southern Tiger, melaporkan bahawa keputusan itu, dibuat kerana Sultan Ibrahim gembira dengan perkembangan bola sepak Johor.

"Tuanku membuat keputusan tersebut kerana baginda amat gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor dan mengharumkan nama Johor di persada dunia.

"Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail (Sultan Ibrahim), selaku pemilik kelab bola sepak JDT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku atas kurniaan kepada JDT tersebut," petik kenyataan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain peranan Tunku Ismail, sebagai Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tetap diteruskan.

"JDT akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya dan akan merangkumi pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV dan segala program pembangunan akar umbi serta infrastruktur berkaitan. Untuk PBNJ pula, persatuan akan berfungsi sebagai pengelola untuk segala pertandingan bolasepak di peringkat negeri dan kebangsaan," petik kenyataan Johor Southern Tiger.

Dalam pada itu, peranan Datuk Ismail Karim dan Kapten Mohd Fahmy Yahya sebagai Presiden dan Setiausaha Kehormat PBNJ dan JDT masih lagi dikekalkan.

"Penyeragaman ini adalah kesinambungan daripada penstrukturan semula yang dimulakan pada tahun 2013 dan mengambil kira penswastaan liga Malaysia pada masa akan datang. Polisi yang telah ditetapkan sebelum ini akan dikekalkan dan dilaksanakan secara berterusan," petik kenyataan itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor