Tiga lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun membabitkan ‘Geng Dan’ berjaya ditahan pihak polis dalam dua serbuan masing-masing dua orang di Felda Keratong 2, Muadzam Shah dan seorang lagi di Taman Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, serbuan pertama oleh pasukan D9 dari Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu dilakukan pada 15 Disember 2015 dan hasil siasatan kemudiannya membawa kepada serbuan kedua di Kuala Lumpur.
“Tiga lelaki ini dipercayai bergerak dalam satu sindiket samun yang dikenali sebagai Geng Dan yang menjalankan kerja menyamun barang-barang berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan sebagainya.
“Dengan penahanan ini, saya percaya polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes samun yang pernah dilaporkan sepanjang tahun 2015 di sekitar Felda Keratong,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang merupakan warganegara Indonesia itu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang namun hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai model, enam utas jam tangan pelbagai jenama, satu bentuk loket batu permata putih, seutas rantai tangan, sebentuk cincin dan tiga keping surat pajak gadai serta kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, beliau turut mendedahkan pihaknya berjaya menumpaskan dua kegiatan perjudian masing-masing di Tanjung Gemok dan Bukit Ibam dalam serbuan Ops Dadu yang dilakukan berasingan.
“Pada 17 Januari lalu sekitar jam 5 petang sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang telah membuat serbuan di sebuah pasar mini yang terletak di Bukit Ibam kerana disyaki menjalankan aktiviti judi loteri haram.
“Dalam serbuan itu polis berjaya menahan seorang wanita berketurunan Orang Asli berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di pasar mini berkenaan,” katanya.
Menurut Aidil, polis turut merampas dua telefon bimbit, satu unit mobile printer, satu unit mesin kira-kira, satu beg pinggang yang mengandungi barang loteri awam haram, 15 helai kertas putih bercetak tertera angka dan abjad serta wang tunai berjumlah RM945.00 disyaki hasil kegiatan loteri awam haram,” katanya.
Dalam serbuan berasingan oleh pasukan JSJ IPD Rompin di Taman Wawasan 1, Tanjung Gemok pada 15 Januari lalu, seramai lapan lelaki berusia 40 hingga 60 tahun ditahan ketika berada dalam satu bangunan kerana disyaki sedang bermain judi.
“Polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian seperti meja kayu, kertas putih yang terdapat lakaran gambar, tiga biji buah dadu, 24 cip pelbagai warna, cawan kaca dan piring kaca serta wang tunai berjumlah RM215.00,” katanya.
Kedua kes berkaitan judi masing-masing disiasat mengikut Sekysen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 atau Menjalankan Loteri Awam Haram dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor