Pages

Saturday, January 9, 2016

POLIS TERIMA LAPORAN WANITA DICULIK


Kes Culik


Lahad Datu - Polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita diculik di Kampung Silam dekat sini, kira-kira 10 malam Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang berusia 44 tahun dan berbangsa Suluk, membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Lahad Datu.

"Mangsa mendakwa didatangi tiga lelaki bertopeng serta bersenjata api sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis Ford lama berwarna putih yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Mangsa juga memaklumkan terdapat dua lagi suspek menunggu dalam kenderaan berkenaan dan membawanya ke jalan Dewata seterusnya ke jalan Danum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hamzah berkata ketika dalam kereta itu, mangsa diugut bunuh sekiranya gagal menyediakan wang tebusan RM50,000, sebelum diarah menghubungi anggota keluarga untuk menyediakan sejumlah wang tersebut.

"Kira-kira dua jam kemudian, wang itu berjaya disediakan dengan bantuan anggota keluarga dan jiran, sebelum diserahkan kepada suspek di simpang Kampung Silam," katanya.

Hamzah berkata, suspek kemudian melarikan diri dan mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor