Pages

Saturday, January 9, 2016

[KUANTAN] BAUKSIT: SPRM TAHAN TIGA INDIVIDU LAGI


Datuk Mohd Azam


Tiga orang awam yang dipercayai menjadi orang tengah bagi penjualan Dokumen Pemindahan Mineral (borang 13D) ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah perlombongan bauksit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata, tiga orang awam itu termasuk seorang wanita ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Kuantan iaitu di antara jam 4 petang hingga 11.55 malam, semalam.

Menurutnya, suspek yang berusia antara 44 dan 50 tahun itu dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.

"Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Siasatan masih giat dijalankan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Mohd Azam berkata, penahanan orang awam itu menjadikan jumlah keseluruhan ditahan bagi menyiasat aduan rasuah berkaitan perlombongan bauksit kepada tujuh orang.

Azam berkata, SPRM meminta orang ramai yang memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu terbabit yang memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram.

Pada Khamis lalu, seorang pegawai kanan dan tiga kakitangan bahagian penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri ditahan SPRM selepas dipercayai menerima rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram.

Hasil pemeriksaan di rumah seorang daripada suspek juga membawa kepada penemuan lebih RM100,000 yang disembunyikan dalam mesin basuh.

Mereka ditahan di sekitar bandar Kuantan dalam operasi khas selepas disyaki menerima suapan menerusi penjualan borang 13D pada harga antara RM100 hingga RM200 kepada pengusaha lombong haram.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor