Pages

Monday, January 18, 2016

PENIAGA TERTEKAN LAWAN HARGA


Kuala Lumpur : Kebanjiran peniaga asing memonopoli kebanyakan sektor di ibu kota termasuk perniagaan semakin merunsingkan peniaga tempatan.

Tinjauan Metro Ahad di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, mendapati peniaga tudung tempatan terpaksa berdepan persaingan sengit apabila peniaga asing menawarkan harga yang lebih murah.

Peniaga tudung Dahlan Abd Wahab, 79, berkata, dia sudah kehilangan ramai pelanggan tetap akibat faktor perbezaan harga.

“Saya sendiri faham, mana-mana pelanggan inginkan harga termurah kerana mereka boleh menjual balik tudung yang dibeli dan mendapat keuntungan tinggi.

“Namun bagi saya, kualiti tudung yang dijual itu lebih penting kerana memberi keselesaan kepada individu yang memakainya walaupun harga sedikit berbeza,” katanya.

Menurutnya, dia sudah berniaga di kawasan itu sejak 1969 dan kemerosotan jualan tudung amat dirasai olehnya serta peniaga tempatan lain.

“Saya memulakan perniagaan seawal jam 9 pagi setiap hari namun hingga ke tengah hari keadaan masih lagi lengang.

“Jika dibandingkan dengan jualan beberapa tahun lalu, jualan saya mencecah 500 helai tudung sehari berbanding sekarang yang mana 100 tudung pun sukar dijual,” katanya.

Dahlan berkata, trend tudung yang sentiasa berubah membuatkan peniaga sendiri sebagai peniaga tidak dapat mengejarnya, malah terpaksa membuat jualan murah bagi mengelakkan kerugian besar serta modal hangus.

Sementara itu, Zawiah Othman, 50, turut berkongsi pandangan sama berkata, jumlah peniaga asing yang terlalu ramai serta masalah ekonomi membuatkan perniagaan peniaga tempatan semakin merosot.

“Ada sesetengah pembeli bertanya mengenai GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dikenakan atau sebaliknya di samping merungut harga di kedai lain lebih murah.

“Kebanyakan harga tudung yang dijual adalah dalam lingkungan harga antara RM10 hingga RM25 saja dan bagi saya ia adalah harga mampu dimiliki pelanggan,” katanya.

Zawiah berkata, kebanyakan pelanggan yang datang akan membeli secara borong kerana mereka turut berniaga tetapi secara dalam talian.

“Kami sebagai peniaga dan juga pembekal tidak sempat untuk membuat jualan secara dalam talian akibat kekangan masa dan tenaga kerja.

“Kami bertanggungjawab untuk mencari kain yang berkualiti bagi menjamin kepuasan pengguna, bukan hanya melihat pada harga dan berharap pelanggan boleh membuat pilihan bijak,” katanya.

Menurutnya, rungutan pelanggan membuatkan peniaga tempatan risau kerana mereka bukan saja bersaing dengan peniaga asing tetapi termasuk syarikat tudung lain di sekitar Jalan TAR.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor