Pages

Monday, January 18, 2016

ANAK MUDA KERDAU TAWAN EVEREST


Kerdau - Sebut sahaja gunung Everest, ramai yang tidak sanggup menyahut cabaran mendaki melainkan hanya mereka berjiwa kental.

Bagi Mohd Hakimin Sharuddin, 31, antara rencah kejayaannya ialah semangat juang tinggi, cekal dan tidak mudah mengalah sehingga berjaya dalam ekspedisi menjejak puncak Gunung Kala Patthar dan Everest Base Camp.

Anak muda warga Kerdau ini adalah individu pertama yang berjaya mendaki tempat yang digelar ‘rabung dunia’ itu.

Juruteknik Komputer dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik , Fakulti Kejuruteraan yang mewakili majikannya Universiti Malaya ini melakukan ekspedisi selama 18 hari iaitu dari 8 November hingga 25 November 2014 bersama rombongan sembilan pendaki dari Malaysia sebaik melepasi ujian saringan dan latihan.

Menurutnya, untuk mencapai kecergasan diperlukan mereka menjalani latihan mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Jun 2014 dan seterusnya ke Gunung Semeru di Kota Malang, Indonesia yang dianggap lebih mencabar iaitu selama 10 hari.

“Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 8 November dan dua hari kemudian berlepas ke Lukla iaitu sebuah bandar yang berada pada ketinggian 2,800 meter dari paras laut.

“Pada hari ke sembilan pendakian ke Lobuche dengan suhu 4C, tanpa sinaran matahari menambah kedinginan pendakian. Tetapi kami berjaya juga tiba di Dughla (4,648 meter) dalam tempoh tiga jam,” katanya.

Dugaan yang dihadapi waktu itu ialah kesejukan, pening kepala dan cirit-birit hingga memaksa pendaki berehat lama untuk memulihkan diri serta keyakinan.

Di situ, katanya, beberapa pendaki terpaksa turun berikutan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Masuk hari ke-10, keadaan saya pula bertambah teruk dengan migrain dan diarea yang menyebabkan dehidrasi. Rasa mual memaksa saya untuk rehat dan bantuan porter untuk membawa beg," katanya.

Akhirnya rombongan berjaya sampai ke puncak gunung Kala Pattar yang berketinggian 5,545 meter dari aras laut.

Meskipun lebih setahun berlalu, Hakimin masih berminat jika satu hari diberi peluang dan ada tajaan untuk mendaki hingga ke puncak Gunung Everest.

Katanya, anggaran perbelanjaan digunakannya sekitar RM12,000 termasuk peralatan, latihan dan ekspedisi.

Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada keluarga dan mentua, isteri, pendaki Malaysia dan India, Universiti Malaya, Third Eye Adventure serta Integrated Light Wave Research Group selaku penyumbang dana.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor