Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan mengeluarkan larangan menjual air minuman yang didakwa dibacakan ayat suci al-Quran.
Bagaimanapun, tarikh larangan belum ditetapkan tetapi dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Yang Dipertua Muip Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Muip memandang serius kegiatan menjual air minuman menggunakan al-Quran yang bertujuan melariskan jualan.
“Mereka menggunakan agama untuk melariskan produk seperti menyembuhkan pelbagai jenis penyakit selain dikatakan dapat menerangkan hati kanak-kanak dan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Selain itu katanya, selain air minuman Muip turut memantau beberapa produk lain seperti kismis yang didakwa menggunakan cara serupa bagi menerangkan hati individu yang memakannya.
“Arahan larangan menjual itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi,” tegasnya.
Katanya, satu jawatankuasa ditubuhkan membabitkan beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk melakukan pemeriksaan di semua premis sebaik sahaja larangan dilaksanakan.
Beliau juga tidak menolak aktiviti menjual air minuman itu mungkin satu kaedah penipuan khusus kepada umat Islam yang terlalu taksub dan mempercayainya terutama apabila disertakan dengan ayat al-Quran.
“Sudah tiba masanya Muip bertindak tegas bagi memastikan umat Islam tidak mudah tertipu oleh pihak yang mengambil kesempatan menggunakan agama semata-mata untuk melariskan perniagaan mereka.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor