Pages

Tuesday, January 19, 2016

ELAK ADU DI MEDIA SOSIAL

Media sosial



FELDA BUKIT KEPAYANG - Warga Felda yang mempunyai masalah perlu tampil merujuk dengan pihak pengurusan dan pemimpin setempat supaya mereka dapat dibantu.

Pengurus Rancangan, Zainal Abidin Abdul Hamid berkata, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik sekiranya golongan itu berbuat demikian.

Menurutnya, masih terdapat peneroka atau warga Felda yang lebih selesa mengadu masalah menerusi saluran tidak betul, termasuk menguar-uarkannya melalui media sosial sehingga menjadi viral.

“Mereka perlu menolak perkara negatif dan bukan menjaja masalah di tempat lain sehingga memburukkan imej sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda Kepayang di sini, semalam.

GPW dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Perarakan dan Sepanduk yang diadakan, sementara Kelab Sukan Wanita (KSW) dan Kelab Suri Kakitangan Kilang Sawit Felda Bukit Kepayang, masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Zainal Abidin berkata, masalah dalaman tidak perlu dibawa keluar dari tanah rancangan, melainkan selepas perbincangan dilakukan dengan pihak sewajarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, program kerohanian termasuk aktiviti berkaitan perayaan atau hari kebesaran Islam akan menjadi fokus pengurusan Felda Bukit Kepayang sepanjang tahun ini.

Katanya, tumpuan bukan sahaja membabitkan program skala besar tetapi aktiviti membabitkan kumpulan kecil seperti ziarah Dhuha dan Yassin yang sebelum ini dilihat dapat mengeratkan hubungan.

Beliau berkata, semua agensi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kilang Sawit Felda Kepayang, Gabungan Persatuan Wanita (GPW), masjid dan NGO boleh menyertainya.

“Kerjasama itu bertujuan untuk pembangunan kawasan berkenaan dan bukan memberi kepentingan kepada pihak tertentu,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor