Pages

Sunday, January 24, 2016

[KUANTAN] LOKASI TERJEJAS BEBAS DEBU BAUKSIT


Lokasi terjejas bebas debu bauksit


Hari ini masuk hari ke sepuluh pelaksanaan moratorium selama tiga bulan ke atas aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, selepas ia dikuatkuasakan secara rasmi 15 Januari lalu.

Sejurus keputusan dibuat Kabinet yang diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, beberapa langkah segera diambil termasuk sekatan pergerakan lori bauksit oleh Pejabat Tanah dan Galian Pahang dari tapak lombong ke pelabuhan.

Keputusan itu mendapat reaksi berbeza sama ada orang ramai yang tiada kepentingan dengan aktiviti perlombongan itu dan mereka yang meraih untung hasil bauksit selama ini.

Kerja pembersihan guna wang rakyat?

Selepas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak 13 Januari lalu yang meminta pembersihan segera kawasan yang terjejas akibat bauksit, beberapa kawasan dibersihkan dalam operasi yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), SWCorp dan Alam Flora.

Banyak pihak memberi reaksi positif terhadap langkah berkenaan namun ada yang mempersoalkan kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan wang rakyat dan bukan ditanggung pengusaha yang selama ini mengaut keuntungan.

Antaranya Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mendesak supaya kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pengusaha sebagai tanggungjawab sosial mereka, bukannya mengerahkan agensi kerajaan mengalas tanggungjawab.

Bagaimanapun persoalan terjawab apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataannya menyebut, pihaknya dalam proses untuk mengenal pasti pemandu lori dan pengusaha lombong haram sebelum bil pembersihan diserahkan kepada mereka yang terbabit.

Namun adakah usaha mengesan pengusaha lombong haram itu mampu dilakukan kerana pengalaman membuktikan golongan yang ‘kenyang’ hasil mengaut hasil bauksit secara haram di sini sentiasa culas dan bersikap lepas tangan.

Buktinya, beberapa siri perbincangan bersama pihak pengusaha lombong bauksit pernah diadakan sebelum ini malah mereka berjanji akan mematuhi segala syarat ditetapkan termasuk membersihkan kawasan yang tercemar akibat aktiviti itu namun semuanya sekadar janji, pencemaran terus berlaku hingga tidak terkawal.

Lokasi tercemar semakin baik

Selepas dua minggu operasi bauksit dihentikan, Wartawan Sinar Harian mengambil masa kira-kira tiga jam bermula 12 tengah hari meninjau sekitar lokasi yang sebelum itu terjejas teruk akibat pencemaran bauksit bagi melihat sendiri situasi semasa selepas operasi itu dihentikan.

Penulis sengaja memilih cuaca panas terik bagi melihat sendiri adakah masih berlaku pencemaran debu-debu tebal di kawasan tapak perlombongan sekitar Bukit Goh, sepanjang laluan Bukit Goh-Pelabuhan dan kawasan pelabuhan.

Penulis turut meninjau beberapa lokasi lain seperti Sungai Balok dan Pantai Balok yang juga pernah menjadi mangsa pencemaran bauksit.

Secara keseluruhan, penulis penulis dapati kawasan itu kini tidak lagi berdebu walaupun dalam keadaan cuaca panas terik.

Bagaimanapun terdapat kerosakan di sesetengah kawasan tetapi tidak seteruk semasa aktiviti itu rancak berjalan malah laluan bauksit yang dulunya sesak dengan lori kini kembali tenang dan lancar.

Hasil operasi pembersihan juga dilihat memberi kesan positif terutama di laluan yang selama ini kotor diselaputi sisa bauksit kini sudah bebas debu dan pencemaran malah pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dapat menunggang dengan selesa.

Gerai kembali beroperasi

Hasil tinjauan di sekitar Bukit Goh kira-kira jam 1 tengah hari, aktiviti seharian penduduk yang selama ini terganggu akibat pencemaran bauksit kembali berjalan seperti biasa.

Beberapa gerai yang selama ini ditutup kini kembali beroperasi tetapi bahagian hadapan gerai masih bertutup dengan kanvas atau jaring hitam sebagai langkah keselamatan untuk menghalang debu.

Tinjauan di Sungai Balok dan Pantai Balok yang sebelum ini terjejas akibat fenomena laut merah juga sudah berubah wajah namun ketika air surut warna air Sungai Balok masih kemerahan dan kesan kelodak lumpur masih kelihatan.

Bagaimanapun, rungutan tidak puas hati penduduk masih kedengaran berikutan jalan-jalan raya yang rosak akibat pergerakan lori mengangkut bauksit sebelum ini masih belum dibaiki.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor