Pages

Thursday, January 28, 2016

[KUANTAN] ISU BAUKSIT: DUA INDIVIDU DITAHAN


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin


Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menahan dua individu selain menyita sebuah lori dan jengkaut selepas dikesan menjalankan aktiviti mengorek bauksit di kawasan Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) Gebeng, kelmarin.

Kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, pemilik tanah melaporkan insiden itu kepada PTG sebelum kedua-dua individu terbabit termasuk seorang warga asing ditahan. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin berkata, PTG melakukan penyitaan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 selepas menerima aduan berlaku kerja-kerja perlombongan di tanah milik pengadu.

Menurutnya, PTG menghantar satu pasukan dan melakukan pemeriksaan sebelum menyita lori dan jentera.

“Sepanjang tempoh moratorium setakat ini kita dapati semua pengusaha patuhi arahan,” katanya.

Menurutnya, polis ada menahan sebuah lori dalam satu pemeriksaan sebelum ini kerana disyaki membawa bauksit, bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan pasir,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pertama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang 2016 dan Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Amanah Perwira Negara di Dataran Kawad, Alor Akar, semalam.

Sharifuddin berkata, pihaknya akan meneruskan fasa kedua penguatkuasaan sepanjang tempoh moratorium.

Dalam perkembangan lain, Sharifuddin berkata, polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri dari tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, 19 Januari lalu. 

“Susulan kejadian, seorang pegawai dan dua anggota mungkin berdepan tindakan tatatertib atas sebab kecuaian ketika melakukan tugas. 

“Bagaimana pun kita percaya usaha menjejaki suspek semakin hampir hasil risikan dan maklumat,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditahan di Ibupejabat Polis Daerah Pekan melarikan diri dalam tahanan polis.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, suspek bertindak melarikan diri dalam keadaan bergari.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor