Pages

Friday, January 8, 2016

[KUANTAN] BAUKSIT: BANTAH PIHAK BERKUASA PTG SEKAT LORI


Bauksit: Bantah pihak berkuasa PTG sekat lori


Keputusan menghentikan operasi bauksit selama tiga bulan dianggap terlalu drastik dan tergesa-gesa apabila kira-kira 300 lori terkandas dan tidak dapat mengangkut bauksit di Stockpile Bukit Goh semalam.

Tindakan pihak berkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) membuat sekatan sedangkan tempoh penguatkuasaan belum lagi bermula, menyebabkan lori tidak dapat menghantarnya ke Pelabuhan Kuantan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, pengusaha dan pemandu lori berada di kawasan itu sejak jam 4 pagi, namun sehingga jam 11 pagi mereka masih tidak dapat bergerak.

Setiausaha Penyelarasan Bauksit Bukit Goh, Dr Shahrudin Mohd berkata, pengusaha, peneroka termasuk pemandu lori kecewa tindakan PTG menghalang aktiviti sedangkan tarikh penguatkuasaan masih belum tiba.

“Mereka kecewa dan bantah keputusan dibuat kerajaan negeri kerana ia satu tindakan tergesa-gesa, tapi apabila kerajaan negeri tetapkan keputusan penutupan sementara pada 15 Januari, mereka akur dan menerimanya.

“Dalam keadaan masih terkejut dengan penetapan tarikh singkat, mereka dikejutkan kehadiran PTG membuat sekatan. Mereka juga sita kenderaan di pusat pencucian di Bukit Sagu.

“Berilah masa dan ruang kepada pengusaha dan peneroka sehingga 15 Januari mengeluarkan hasil yang ada. Sekurang-kurangnya menampung perbelanjaan selama tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun tiga bulan satu tempoh yang lama, namun tidak menjadi masalah jika ada perubahan mampu dilakukan bagi melancarkan aktiviti perlombongan selepas ini.

“Sebelum ini pernah diarahkan tutup sebulan dengan alasan penambahbaikan, sekarang henti lagi tiga bulan. Ini satu kerugian bukan saja kepada pengusaha tetapi peneroka,” katanya.

Menurutnya, pihak jawatankuasa senantiasa memantau keadaan semasa pelombong, pengusaha, peneroka dan pemandu lori dari masa ke semasa untuk mengelak sebarang masalah.

“Kami lakukan pemantauan, pihak berkuasa minta cuci lori, kami sudah buat. Jalan kotor kami bersihkan. Sejak enam bulan lepas, kami pantau jalan dan lori yang keluar masuk. Keadaan sekarang semakin bersih, jangan sebab pelabuhan kotor kami jadi mangsa,” katanya.

Peneroka kecewa

Tindakan lebih awal pihak berkuasa PTG melakukan sekatan turut mengecewakan peneroka, Nik Abdul Majid Nik Sim, 72.

“Kementerian Alam Sekitar dah tetapkan 15 Januari sebagai tarikh akhir, tapi mereka (PTG) menghalang pendapatan dan hasil lebih kurang 150 peneroka.

“Hanya 30 peratus bauksit diambil dan selebihnya masih belum habis diambil. Hasil pun masih tidak ada lagi, yang ada di Stockpile pun belum dikeluarkan lagi. Jadi saya harap pihak kerajaan negeri perlu ambil kira hal ini, jangan fikir kepentingan satu pihak sahaja,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor