SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan kita umat bersaudara saling mengasihi antara satu sama lain. Kita dilarang menyakiti sesama saudara Muslim.
Firman ALLAH: "Dan orang yang mengganggu dan menyakiti orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan sesuatu yang mereka tidak lakukan, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa nyata." (Surah Al-Ahzaab: 58)
Dalam ayat di atas terdapat larangan mengganggu orang Islam dan ancaman terhadap orang yang melakukannya. Kehormatan orang Islam bernilai tinggi di sisi ALLAH. Kerana itu mengganggu orang Islam dengan kata-kata atau perbuatan seperti melemparkan tuduhan palsu terhadap mereka atau apa jua bentuk gangguan yang lain adalah suatu dosa besar.
SIKAP MUSUH ISLAM
Adalah menjadi sikap orang kafir, munafik dan orang fasik untuk mengganggu orang Islam sepanjang zaman tak kira di mana jua. Memandangkan mereka memusuhi orang Islam. Pelbagai bentuk gangguan dan muslihat yang mereka lakukan terhadap orang yang beriman.
Tetapi ALLAH SWT memberi jaminan untuk melindungi orang yang beriman dan membalas perbuatan orang yang mengganggu mereka.
Dalam sebuah hadis Qudsi, ALLAH berkata:
"Barang siapa mengganggu wali-Ku, aku izinkan peperangan terhadap mereka." (Riwayat Bukhari)
Sabda Nabi SAW: "Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya, menyerahkannya (kepada musuh), memperlekehkannya, mahupun menghampakannya. Cukuplah kejahatan seseorang itu untuk menghina saudara Muslimnya. Setiap seorang
Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram; darahnya, hartanya dan maruahnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Demikian ALLAH melarang perbuatan mengganggu orang-orang Islam dan menyakiti mereka sama ada di jalan raya, di rumah, dalam muamalah dan sebagainya.
AKHLAK DI JALAN RAYA
Atas dasar ini, syarak menganjurkan supaya kotoran di atas jalan raya diangkat dan dibuang supaya tidak mengganggu orang Islam yang melintasinya.
Sabda Nabi SAW: "Iman itu adalah 70 lebih atau 60 lebih cabang; afdalnya adalah ucapan La ilaha illa ALLAH dan yang paling rendah adalah mengangkat kotoran di atas jalan; dan sifat malu adalah sebahagian daripada iman." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Sabda Nabi SAW lagi: "Aku melihat seorang lelaki bersiar-siar di syurga kerana dia memotong sedahan pokok yang mengganggu lalu lintas orang-orang Islam." (Riwayat Muslim)
Sabda Baginda SAW lagi: "Barang siapa melewati masjid-masjid atau pasar-pasar kami dengan membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang kepala anak panahnya dengan kedua tangannya supaya jangan sampai mencederakan sesiapa dalam kalangan orang Islam." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Jalan raya adalah laluan yang dikongsi secara bersama, hindari kesesakan dan jangan dihalang lalu-lintas. Sebarang kotoran yang boleh mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dibuang.
Dukacitanya kita lihat pada hari ini, jalan raya menjadi tempat orang membuang sampah merata-rata. Masing-masing membuang sampah tanpa menghiraukan orang lain. Tisu, plastik bungkusan, tin dan kotak minuman, kertas dan sampah sering menjadi sajian mata yang memandang keadaan jalan raya kita. Ada kalanya longgokan sampah lebihan makanan dengan baunya yang busuk dilihat dibuang tak mengira tempat.
Lumrah kita melihat puntung-puntung rokok yang bertebaran, khususnya di lampu-lampu isyarat oleh pengguna-pengguna jalan raya ketika menanti lampu isyarat bertukar hijau. Jalan raya menjadi satu-satunya tempat pembuangan sampah besar dan luas buat sebahagian orang.
Mereka menyangka perbuatan mereka ini kecil dan tidak mengapa. Mereka lupa hak-hak pengguna jalan raya yang lain bahawa perbuatan mereka ini menyakiti saudara Islam mereka. Sedangkan doa orang yang dizalimi adalah mustajab di sisi ALLAH.
Demikian juga perbuatan segelintir pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan mereka tak mengira tempat sehingga menghalang laluan kenderaan yang lain. Pengguna motosikal pula lebih-lebih lagi golongan remaja, sebahagian mereka sengaja membuat bising dengan ekzos motosikal di kawasan-kawasan perumahan pada waktu malam tatkala penduduk sedang nyenyak tidur. Perbuatan sebegini adalah perbuatan orang jahil yang pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa.
Sewajarnya tindakan patut dikenakan terhadap pengganggu-pengganggu ini supaya mereka sedar akan perbuatan buruk mereka. Mereka perlu tahu saudara-saudara Islam mereka yang lain turut mempunyai hak seperti mereka dan masing-masing perlu saling hormat-menghormati.
MENIPU DALAM JUAL BELI
Termasuk dalam perbuatan mengganggu orang Islam adalah amalan menipu, tidak jujur dalam bermuamalah dan dalam urusan jual beli. Adalah menjadi hak atas saudara Muslim untuk bersikap jujur dan berterus terang serta mengasihinya sebagaimana seseorang itu mengasihi dirinya sendiri. Agama Islam itu berlepas diri daripada sebarang perbuatan menipu dan khianat.
Sabda Nabi SAW: "Barang siapa menipu kami, dia bukan sebahagian kami." (Riwayat Muslim)
Malangnya, pada hari ini sebahagian peniaga menganggap menipu adalah cara untuk meraih keuntungan yang cepat dan perbuatan tersebut tidak mengapa. Sebahagian mereka ada yang berasakan tindakan menipu adalah satu kepakaran yang perlu dipelajari dan seorang yang tidak pandai menipu tidak akan berjaya dalam perniagaannya.
Golongan ini telah menjadikan jual beli sebagai satu cara untuk mencuri dan merompak harta wang ringgit orang lain. Daripada mereka merompak secara paksa dan terang-terangan, mereka merompak secara muslihat atas nama jual beli. Barangan rosak dijual sebagai barangan yang elok, yang murah dijual dengan harga mahal dan yang tidak berkualiti dijual dengan harga tinggi.
Penjual ini tanpa segan silu mendakwa barangannya asli dan berkualiti. Segala helah dalam bentuk dokumentasi dan testimoni palsu digunakan sebagai pelaris barangan. Ditambah pula dengan janji-janji manis dan kata-kata penguat bagi meyakinkan pembeli.
Demikianlah sikap buruk sebahagian masyarakat yang perlu ditegur dan diperbetulkan. Firman ALLAH: "Dan sesiapa yang menghormati hukum-hakam ALLAH maka yang demikian adalah baik baginya di sisi Tuhannya." (Surah Al-Hajj: 30)
USTAZ IDRIS SULAIMAN
Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia
www.ustazidrissulaiman.com
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor