Pages

Saturday, January 9, 2016

HANYA MALAYSIA DIBERI PILIHAN KELUAR DALAM TPP


TPP


Kuala Lumpur - Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberi klausa pilih keluar dalam satu surat sampingan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kata Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Jayant Menon.

"Ini sebenarnya membolehkan Malaysia menarik diri daripada TPP walaupun tanpa cuba untuk meratifikasikannya di Parlimen. Tiada negara yang terlibat TPP lain boleh melakukannya.

"Bagaimana Malaysia mampu memperolehnya, saya tidak tahu tetapi, saya fikir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan seorang perunding yang hebat," katanya pada Forum Ekonomi Asean di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia mungkin negara paling berjaya dalam memperoleh pengecualian dalam banyak aspek sensitif, termasuk perkara seperti perolehan kerajaan, pembaharuan perusahaan negara atau syarikat berkaitan kerajaan dan perlindungan dalam sesetengah bidang pembaharuan harta intelek.

"Dengan begitu banyak pengecualian, kemungkinan tiada masalah untuk Malaysia menyertai TPP akhirnya," katanya.

Bagaimanapun Jayant berpendapat, TPP itu sendiri mungkin tidak menjadi realiti jika ia tidak diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.

"Tiada jaminan ia akan direalisasikan. Republikan perlu disokong dalam jumlah yang besar memandangkan Demokrat telah menentangnya.

"Politik memainkan peranan besar ketika ini. Tiada jaminan TPP akan mudah diluluskan Kongres. Kita hanya perlu tunggu dan lihat," katanya.

Jayant berucap sebagai anggota panel pada forum itu mengenai struktur perdagangan serantau yang semakin berkembang dan reaksi pasaran terhadapnya.

Mengenai Komuniti Ekonomi Asean (AEC), beliau bersetuju dengan Deklarasi Kuala Lumpur yang menyatakan ia bukan satu destinasi namun satu perjalanan, dan jangkaan yang adil terhadap penyempurnaan pelaksanaan AEC sepatutnya pada 2025.

Beliau berkata berdasarkan kajian terbaru, lebih banyak aktiviti dan program kesedaran mengenai AEC perlu dijalankan untuk meningkatkan profilnya.

Mengenai tonggak keempat AEC iaitu penyepaduan ke dalam ekonomi global, Jayant berkata ia menjadi bidang kejayaan Asean.

"Asean mampu menggunakan fahaman serantau untuk benar-benar mempromosi globalisasi.

"Asean sentiasa membuka pintunya. Perdagangan dalam negara Asean kian berkembang malah akan lebih berkembang dengan AEC," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor