Pages

Monday, January 11, 2016

BAUKSIT: BEKU LESEN EKSPORT JIKA GAGAL PATUHI SOP


Bauksit


Hulu Terengganu - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan membekukan lesen mengeksport bauksit ke luar negara jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Timbalan Menterinya Datuk Ir. Hamim Samuri berkata pihaknya tidak akan berkrompromi dengan mana-mana individu yang gagal mematuhi syarat yang telah keluarkan.

Katanya, pihak kementerian bersama agensi lain akan terus memantau perkara tersebut dan tindakan susulan yang dilaksanakan bergantung kepada kementerian dan agensi lain termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), polis dan sebagainya.

"Sekiranya mereka gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan itu kita tidak akan teragak-agak untuk membekukan lesen mengeksport bauksit tersebut..itu antara jaminan yang kita berikan.

"Kita juga akan berbincang bersama kementerian dan agensi yang lain untuk tindakan selajutnya mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Bukit Tadok di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari dan Adun Telemong Datuk Rozi Mamat.

Menurut Hamim, setakat ini kerja-kerja perlombongan dan pengangkutan bauksit masih berjalan namun bermula 15 Jan ini tidak akan ada sebarang aktiviti perlombongan dan eksport bauksit.

Sementara pada Februari kerja-kerja membersih dan mengeluarkan stok yang ada di pelabuhan akan dilaksanakan, diikuti bulan seterusnya ditetapkan untuk membersihkan stok bauksit yang berada di luar Kuantan.

Rabu lepas (6 Jan), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari.

Wan Junaidi berkata bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit, kerajaan juga telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.

Hamim berkata selepas tempoh tiga bulan itu, SOP baharu akan dikuat kuasa sebelum tindakan membekukan lesen mengeksport dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya turut memantau pencemaran udara serta kawasan yang terjejas termasuk laut dan sungai, akibat aktiviti perlombongan bauksit.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor